#MH17: Waris Akan Dibayar Oleh Syarikat Insurans Terkemuka #JusticeForMH17


Alor Setar -  Ketua Pegawai Eksekutif syarikat insurans terkemuka dunia AIA Berhad, Bill Lisle, memutuskan bahawa akan melaksanakan pengecualian khas dan bayaran ex-gratia akan dibuat kepada waris penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17.

Lisle memutuskan pemansuhan ke atas semua sekatan khas, pengecualian bagi kematian akibat keganasan, perang atau situasi seperti perang dalam polisinya kerana beliau tahu tuntutan itu adalah tulen dan atas dasar prihatin syarikatnya.

"Selepas tragedi menimpa MH17, kami bersedia untuk menghulurkan sebarang bantuan kepada keluarga mereka dalam pesawat malang itu," katanya yang dipetik dari laman Astroawani.com.

Di samping itu, pemegang polisi kemalangan peribadi juga akan dibayar.

Pihak AIA telah membuat pengumpulan butiran penerima yang diperlukan selepas menghubungi anggota keluarga untuk menawarkan bantuan serta penghantaran cek tuntutan sejak dua minggu lepas.

Waris yang terlibat boleh menghubungi talian 24 jam AIA di talian 1300-88-8860/70, atau emel kepada members@aia.com untuk maklumat lanjut berhubung polisi insurans yang dibeli.

Penerbangan MH17 dipercayai telah ditembak jatuh dan terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai lalu semasa dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur bersama-sama 283 penumpang dan 15 anak kapal. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com