MIC Maafkan Ustaz Shahul, Tapi Suruh PAS Bertindak...


Meskipun MIC telah membuat kenyataan untuk menerima permohonan maaf yang dibuat oleh Ustaz Shahul Hamid, namun pihaknya menggesa PAS supaya mengambil tindakan tegas terhadap penceramah bebas yang dilabel sebagai pro-PAS itu.

Timbalan Presiden MIC, Datuk M. Saravanan menggesa PAS supaya mengambil tindakan tegas terhadap penceramah tersebut kerana dianggap menghina agama lain.

Ketua Pemuda MIC, C.Sivarraajh pula, tetap mahu proses undang-undang terhadap Sahul Hamid diteruskan mengikut budi bicara polis bagi memberi pengajaran kepada masyarakat.

"Kami sedia bekerjasama dan berkongsi fikiran dengan polis dalam usaha menangani insiden seumpama itu daripada berulang," ujarnya yang dipetik dari laman Utaranews.com.

Sivarraajh turut meminta agar orang ramai tidak sesuka hati mengkritik kepercayaan agama masyarakat berbilang kaum di negara ini kerana demi menjaga sensitiviti kaum. 

Ustaz Shahul Hamid ditahan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah pada 31 Julai lepas dan dibebaskan dengan jaminan polis. 

Shahul dikatakan telah membangkitkan kemarahan kaum India kerana dikatakan telah menghina agama hindu didalam satu ceramahnya.

Permohonan maaf secara terbuka kepada kaum India telah dibuat oleh Shahul pada hari yang sama dan berharap semua laporan polis terhadapnya ditarik balik. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com