GEORGETOWN – Pemuda MIC hari ini menyatakan kesediaan
menerima permohonan maaf penceramah bebas Shahul Hamid Seeni Mohd
berhubung kenyataan dalam ceramahnya yang menyinggung perasaan kaum
India baru-baru ini.
Ketuanya, C Sivarraajh berkata bagaimanapun pihaknya tetap mahu
proses undang-undang terhadap Sahul Hamid diteruskan mengikut budi
bicara polis bagi memberi pengajaran kepada masyarakat.
“Kami sedia bekerjasama dan berkongsi fikiran dengan polis dalam
usaha menangani insiden seumpama itu daripada berulang,” katanya kepada
pemberita selepas pertemuan tertutup dengan Timbalan Ketua Polis Pulau
Pinang, Datuk A Thaiveegan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang
hari ini.
Sivarraajh meminta masyarakat supaya tidak sesuka hati mengkritik
berkenaan isu sensitif dan kepercayaan agama masyarakat berbilang kaum
di negara ini.
Shahul Hamid ditahan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan di Ibu
Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah pada 31 Julai lepas dan
dibebaskan dengan jaminan polis.
Penceramah bebas itu kemudian memohon maaf secara terbuka kepada kaum
India pada hari yang sama dan berharap semua laporan polis terhadapnya
ditarik balik. – BERNAMA