Muhyiddin Pertahan Najib, Terima Terbuka Kritikan Tun M

Permatang Pauh  - Kerajaan menerima dengan terbuka sebarang kritikan terhadap kepimpinan negara termasuk yang dilahirkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Sambil melahirkan rasa hormat terhadap teguran yang dibuat Dr. Mahathir itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan juga mengakui terdapat dasar-dasar yang berjaya serta sebaliknya yang pernah diambil kerajaan sebelum ini.

Bagaimanapun, menurut beliau, itu bukanlah alasan untuk mana-mana pihak terutama dalam kerajaaan sendiri untuk berpaling daripada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

"Apatah lagi setiap dasar atau keputusan besar yang perlu diambil Perdana Menteri tidak dibuat secara bersendirian tetapi dicapai menerusi keputusan bersama Jemaah Menteri.

"Malah, kita juga tidak pernah mendengar Perdana Menteri kita digelar diktator menunjukkan beliau turut mengambil kira serta tidak menolak pandangan pihak lain dalam pentadbirannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Bahagian Permatang Pauh dekat sini semalam. -Utusan