Nafi Keluar Pakatan: Akar Umbi PAS "Frust Menonggeng"?

PAS semalam melalui Naib Presidennya, Salahuddin Ayub, menafikan secara rasmi dakwaan kononnya parti itu meninggalkan Pakatan Rakyat, sekaligus menegaskan bahawa terdapat usaha pihak tertentu yang tidak suka melihat PAS terus bersama PKR dan DAP.

Beliau juga mendakwa bahawa surat yang tersebar luas di laman-laman sosial dan jaringan komunikasi What'sapp sebelum ini adalah palsu dan bukan dari sumber ibu pejabat PAS.

Sebagaimana maklum, PAS sebelum ini menimbulkan kontroversi apabila tidak bersetuju untuk melantik Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, sebagai Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Kemudian, konflik dalaman Pakatan Rakyat itu semakin meruncing apabila perbincangan hangat kumpulan What'sapp di kalangan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat bocor dan Dr Mohd Zuhdi Marzuki dipersalahkan dalam hal tersebut.

Zuhdi dikenali sebagai salah seorang penentang tegar "Kajang Move" yang digerakkan "konspirasi peringkat tertinggi" PKR untuk menggulingkan Khalid dan dikatakan tidak "sebulu" dengan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

Dilaporkan juga ramai pemimpin akar umbi PAS yang tidak setuju Khalid digulingkan dari jawatan Menteri Besar Selangor dan mahu parti itu mengambil pendekatan keluar dari Pakatan Rakyat ekoran tidak tahan lagi "diperkuda" PKR serta DAP sejak parti pembangkang itu bergabung pada 2008.

Difahamkan bahawa tindakan PAS yang menafikan parti itu keluar dari Pakatan Rakyat mengecewakan ramai ahli dan penyokongnya di seluruh negara yang tidak rela lagi untuk terus bersama PKR dan DAP.

Ramai di kalangan mereka yang dilihat bersetuju mengatakan bahawa tahaluf siyasi di antara PAS dan dua parti tersebut sebagai sangat merugikan Islam serta parti yang mendokong perjuangan Islam tersebut, termasuk tindakan menghapuskan "hudud" dan menubuhkan "kerajaan Islam" di Malaysia.

Selain itu, beberapa tindakan PKR dan DAP seperti isu kalimah "Allah", gejala murtad dan "Jabatan Agama Islam Selangor" (JAIS), dikatakan sangat memalukan PAS serta menyusahkan parti itu untuk menerangkan tindakan yang berlawan arah dengan semangat Islam tersebut.

Kemuncaknya, para pemimpin akar umbi PAS menyatakan protes terhadap tindakan PKR dan DAP melalui isu "coup de tat" Khalid di Selangor, namun dilaporkan mereka hanya berani berbuat demikian "di pintu belakang" sahaja, tidak terang-terangan.

Bagaimanapun, ramai penganalisis politik berpendapat bahawa PAS akan terus tunduk pada kehendak PKR dan DAP disebabkan pengaruh pemimpin-pemimpin pro-Anwar yang telah "ditanam" di dalam PAS sejak dari zaman kepimpinan Anwar di dalam ABIM lagi.

Dilaporkan juga bahawa beberapa pemimpin pro-Anwar di dalam PAS kini kuat melobi kepimpinan tertinggi parti itu untuk terus tunduk pada kehendak Anwar dan menentang gerakan memisahkan PAS dari Pakatan Rakyat.

Desas-desus dalaman parti itu juga mengatakan bahawa AJK PAS Pusat yang membocorkan kandungan What'sapp AJK PAS itu merupakan salah seorang "tali barut" Anwar yang "bersembunyi" di dalam PAS. - KedahNews.com