Ketua DAPSY, Teo Kok Seong
berkata, tindakan Nasrudin itu mempersoalkan mengenai projek berkenaan
seolah-olah satu perbuatan yang mengkianati semangat setiakawan yang sudah
terjalin di antara pemimpin DAP dan PAS sebelum ini.
Kok Seong berkata, Nasrudin tidak
sepatutnya mengeluarkan kenyataan seperti itu, dan pihak DAPSY menyokong penuh
tindakan Guan Eng yang ingin meneruskan saman terhadap adun Temerloh selepas
dia gagal memohon maaf dalam tempoh 24 jam seperti diminta oleh Ketua Menteri
tersebut.
“Demi menjaga maruah dan
menegakkan integriti Ketua Menteri serta seluruh pimpinan pakatan di Pulau
Pinang, Dapsy menyokong penuh tindakan undang-undang ke atas Nasrudin,” katanya
dalam satu kenyataan.
Dalam satu kenyataan Nasrudin
baru-baru ini, dia bertegas tidak akan memohon maaf kepada Guan Eng berhubung
tindakannya mempersoalkan isu berkenaan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang
kerana kenyataanya sebelum ini bukan ditujukan kepada Setiausaha Agung DAP itu
tetapi ia berkait rapat dengan pergolakan di Selangor yang dilihat sengaja mahu
menjatuhkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
“Saya sudah menjelaskan panjang
lebar mengenai isu ini di Facebook dan memang tidak mempunyai sebarang niat
menuduh sesiapa,” katanya kepada media pada majlis rumah terbukanya di
Pelindung Perdana di Kuantan.
Tegas Nasrudin lagi, dia tidak
akan menghalang Guan Eng sekiranya ingin meneruskan hasrat untuk mengeluarkan
saman terhadap dirinya kerana itu merupakan hak Ketua Menteri Pulau Pinang
sendiri.
“Itu hak dia dan saya sudah
membuat penjelasan panjang lebar melalui Facebook kerana tidak mahu terus
memanjangkan isu ini,” katanya.
Sementara itu, Nasrudin menerusi
laman Facebooknya ada menulis 12 perkara mengenai penjelasan berhubung isu yang
dibangkitkan oleh Guan Eng termasuk isu Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) di
Selangor.
“Kenyataan saya tempoh hari
sekadar mempersoalkan kenapa wujud perbezaan sikap pada segelintir pimpinan PR
sewaktu menjadikan isu Kidex sebagai justifikasi untuk menjatuhkan (Abdul
Khalid) di Selangor, sedangkan di hadapan kita terdapat juga isu seperti Projek
Pembinaan Terowong Dasar Laut di Pulau Pinang yang tidak kurang kontroversinya.
"Seolah-olah terdapat sikap
pilih kasih dan mengambil peluang demi mencapai matlamat tertentu yang sempit.
“Justeru itu dakwaan kononnya
saya melakukan fitnah dan pembohongan adalah tidak berasas sebagaimana yang disebut
Guan Eng,” tambahnya dalam laman Facebook.
Merujuk kepada laporan media
semalam, Guan Eng bertegas akan mengambil tindakan undang-undang terhadap adun
Temerloh tersebut setelah Nasrudin gagal mengemukakan pemohonan maaf dalam
tempoh 24 jam seprti ditetapkan oleh Ketua Menteri berkenaan. -KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor