Nasrudin Hassan Tantawi Mengamuk Marahkan Anwar Di Facebook?

Pada tahun 1998, dunia politik Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang pada ketika itu memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden Umno; Datuk Seri Anwar Ibrahim hampir berkubur apabila dipecat daripada kabinet oleh Perdana Menteri.

Pada ketika itu, kabinet dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad (Ketika itu Datuk Seri) kerana Anwar yang pada ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri dipercayai terlibat dalam salah laku seks iaitu liwat sehingga mengakibatkan beliau dipenjarakan.

Bagaimanapun, pada ketika itu PAS yang dipimpin oleh Allahyarham Datuk Fadhil Mohd Noor bangkit dan menjadi pembela kepada Anwar dengan anggapan bahawa pemimpin PKR itu dizalimi pada ketika itu.

Itupun selepas tuduhan, tohmahan dan dakwaan yang dilemparkan Anwar kepada kerajaan Dr Mahathir menuduh beliau dipecat kerana konspirasi politik dengan niat membunuh karier politiknya.

Hasil pembelaan kuat PAS itu, maka Anwar terselamat dan dibela oleh rakyat serta beliau mula bangun kembali dengan perjuangan untuk menuntut jawatan sebagai Perdana Menteri dengan melaungkan slogan Reformasi.

Pada ketika itu, PAS membela Anwar melalui satu gerakan yang digelar GERAK dan ia terbukti berjaya sehingga menjadikan PAS begitu menyerlah.

Ceritanya berbeza kali ini pada tahun 2014, apabila Anwar pula ingin menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang untuk menyingkirkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atas pelbagai dakwaan antaranya berhutang sebanyak RM66.67 juta dengan Bank Islam.

Hutang itu dilakukan untuk membeli saham syarikat dan penjualan tanah milik Kerajaan Negeri Selangor oleh Abdul Khalid kepada EcoWorld dengan harga lebih murah daripada nilai pasaran untuk projek pembinaan rumah.

Dalam laman Facebook Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat; Nasrudin Hassan, beliau dalam statusnya beranggapan kali ini parti itu perlu bangkit bagi membela pula Abdul Khalid yang dizalimi pula oleh Anwar.

"Kini tahun 2014, berlaku pergolakan di Negeri Selangor. Apakah Abdul Khalid akan diperlakukan oleh Anwar sebagaimana Tun Mahathir melakukannya keatas beliau? 

"Apa skandal dan salah laku beliau yang memaksa Abdul Khalid dipecat dari PKR lalu digugurkan sebagai Menteri Besar Selangor? Apakah perkara ini mahu dilihat hanya perkara dalaman PKR dan rakyat tidak perlu bangkit membela Abdul Khadid?,” kata Nasurdin dalam statusnya.

"Saya kira, andai Abdul Khalid disingkir oleh Anwar dari kerusi Menteri Besar sekarang dengan pelbagai tuduhan, sewajarnya PAS yang dipimpin oleh Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi bangkit membela Abdul Khalid yang dizalimi dan diaibkan melalui GERAK 2!," katanya.

Jalan ceritanya hampir sama, tetapi pada masa sama PAS pastinya akan dilihat bijak dan cepat dalam mengambil peluang bangkit mencuri semula perhatian rakyat dengan membela Abdul Khalid yang jelas mahu disingkirkan atas sebab kepentingan peribadi Anwar.

Anwar begitu beriya-iya mahu meletakkan isterinya, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai kesinambungan dalam ‘Langkah Kajang’ yang dilaksanakan sebelum ini.

Tindakan Nasrudin itu mendapat tentangan daripada pengguna laman sosial Facebook yang beranggapan beliau dan PAS hanya bersifat tegas pada tempoh masa tertentu sahaja dan bukannya pada setiap masa.

Pada penulis, pada ketika inilah PAS sepatutnya bangkit membela Abdul Khalid yang jelas mahu digugurkan daripada kerusi Menteri Besar dek kerana kerakusan kuasa-kuasa seorang pemimpin PKR.

Abdul Khalid yang dilihat ramai menjalankan tugas sebagai Menteri Besar dengan baik tidak sepatutnya disingkirkan tambahan pula pada pandangan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Abdul Khalid masih layak memegang jawatan itu.

Sumber: Mynewshub.my