KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) hari
ini menetapkan harga penunjuk aras untuk pakej umrah adalah sebanyak
RM4,900 yang berkuat kuasa serta merta.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul
Aziz yang bertindak selaku Pengerusi MKSU berkata, harga minimum pakej
umrah itu meliputi pakej standard selama 12 hari 10 malam.
“Apa yang kurang daripada itu adalah satu penipuan,” katanya kepada
pemberita dalam sidang media berhubung penubuhan MKSU di sini hari ini.
Beliau berkata MKSU yang berkuat kuasa hari ini ditubuhkan bertujuan
bagi menangani isu penipuan pakej umrah yang dianggotai 13 anggota
termasuk Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Kementerian Perdagangan
Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Polis Diraja Malaysia.
“MKSU akan berperanan dalam mengawal selia pengendalian pakej umrah
serta bertindak sebagai pusat sehenti dan saluran terhadap segala aduan
berkaitan penipuan pakej umrah,” katanya.
Mohamed Nazri berkata, setiap agensi akan memainkan peranan dan
tanggungjawab masing-masing berdasarkan peruntukan undang-undang dan
peraturan sedia ada untuk bersama memantau isu penipuan pakej umrah.
“Penyaluran aduan dan maklumat akan jadi lebih sistematik dan
tindakan penyelesaian terhadap aduan akan jadi lebih berkesan dengan
penubuhan majlis ini,” katanya.
Katanya kementerian tersebut juga akan membuat penurunan kuasa kepada
Jawhar di bawah peruntukan Akta Industri Pelancongan 1992 bagi
membolehkan Jawhar membantu dalam pemantauan dan penguatkuasaan terutama
terhadap iklan pakej umrah di surau dan masjid seluruh negara.
Menurut beliau, antara peranan anggota majlis lain termasuk
menetapkan mekanisme kawal selia pengendalian pakej umrah, merancang
pelaksanaan kempen kesedaran kepada orang awam serta memantau status
penguatkuasaan dan siasatan ke atas kes penipuan secara bersepadu. –
BERNAMA