Nizar Didakwa Kerana Fitnah Najib


Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin didakwa di Mahkamah Seksyen Ipoh sebentar tadi kerana memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam ucapannya kepada orang ramai di Taman Desa Pakatan, di sini pada pada 23 April 2012.

Nizar didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dikenakan denda, lapor Bharian.com.my.

Bagaimanapun, Nizar mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas tuduhan berkenaan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd Daud di hadapan hakim, Madihah Harullah manakala tertuduh diwakili 12 peguam diketuai Hatim Musa.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 September ini sebagai tarikh sebutan semula ke berkenaan manakala tertuduh diperintahkan membayar wang jaminan sebanyak RM4,000 sehingga tarikh sebutan semula kes berlangsung. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com