PETALING JAYA – Pakatan Rakyat sedia menghadapi pilihan raya mengejut
di Selangor sekiranya krisis politik di negeri itu gagal diselesaikan
secara baik.
Malah, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau
yakin rakyat Selangor akan memberi sokongan penuh terhadap Pakatan
Rakyat untuk menerajui negeri itu.
Bagaimanapun, jelas Anwar, tiada alasan untuk pilihan raya diadakan
semula kerana Barisan Nasional hanya memenangi 12 kerusi dari 56 kerusi
Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-13
(PRU-13) yang lalu.
Beliau turut yakin krisis Menteri Besar Selangor ini akan
diselesaikan secara baik sesuai dengan semangat Pakatan Rakyat, sama ada
melalui proses peralihan yang lancar, undi tidak percaya mahupun
pilihan raya.
Pada PRU-13 yang lalu, Pakatan Rakyat memenangi 44 kerusi DUN
Selangor iaitu 15 kerusi menerusi PAS, DAP (15) dan 14 kerusi Parti
Keadilan Rakyat (PKR).
Krisis politik di Selangor semakin meruncing apabila PKR tetap dengan
pendirian untuk menamakan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail sebagai calon untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
sebagai menteri besar yang baharu.
Bagaimanapun, keputusan tersebut mendapat tentangan keras daripada beberapa pemimpin tertinggi PAS.
Pada masa sama, Anwar dilihat menempelak tindakan beberapa pimpinan
tertingggi PAS yang membantah keputusan sebulat suara yang dicapai
menerusi mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 23 Julai lalu.
Tegas Anwar, setiap parti di dalam Pakatan Rakyat wajib menghormati sebarang keputusan yang dicapai selepas rundingan bersama.
“Kegagalan untuk menghormati dan menunaikan kewajipan ini bakal memaksa kita membuat beberapa keputusan yang sukar,” katanya.
Jelas beliau, persefahaman berhubung hak lantikan Menteri Besar
Selangor telah wujud dikalangan pemimpin Pakatan Rakyat sebagaimana PKR
bersetuju dengan hak sekutunya dalam membuat keputusan yang sama di
negeri lain.
“Persefahaman ini wajib dipatuhi,” katanya.
Beliau berkata, kegagalan untuk menghormati keputusan ini akan memaksa Pakatan Rakyat membuat beberapa keputusan yang sukar.
“Rakyat perlu diyakinkan bahawa sekiranya beberapa keputusan sukar
perlu dibuat, ianya akan dibuat hanya setelah mengambil kira kepentingan
rakyat dan dibuat demi kepentingan rakyat.
“Sama ada kita hilang sokongan akibat pendirian yang kita ambil, kita
akan terus beristiqamah dan komited dengan matlamat untuk membentuk
Malaysia yang lebih adil, bebas korupsi dan benar-benar demokratik,”
katanya. – mStar Online