Palestin Iktiraf Malaysia Terbaik Wakili Suara Negara-Negara Islam Dunia

Walaupun dituduh tidak cukup Islamik, malah pernah dikafirkan segelintir pihak yang kononnya "lebih Islam", Malaysia diiktiraf wakil Palestin sebagai sebuah negara Islam yang layak menganggotai Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bagi mewakili suara negara-negara Islam dunia.

Duta Palestin ke Malaysia, Dr Anwar al-Agha berkata, peranan Malaysia cukup ampuh menyuarakan desakan negara-negara Islam di seluruh dunia, khususnya berkenaan konflik kezaliman rejim Yahudi Israel terhadap negaranya, Palestin.

"Jika Malaysia berada dalam UNSC, Malaysia akan membantu kami melalui hubungan baiknya dengan negara lain, ia juga boleh menggesa negara berkenaan membantu rakyat Palestin," katanya dalam satu temubual di ibu negara yang dipetik dari Bernama.

Justeru itu kata Dr. Anwar, pihak Palestin memberikan sokongan penuh terhadap Malaysia dalam usaha melobi bagi mengambil kedudukan sabagai salah satu anggota tidak tetap UNSC bagi tempoh tempoh 2015-2016.

"Kami mengucapkan selamat berjaya kepada Malaysia untuk bergerak dari satu kekuatan kepada kekuatan yang lebih tinggi. 

Anda mempunyai asas yang baik dan kukuh di Malaysia yang dapat membantu Palestin dan negara lain," tegasnya mengiktiraf peranan Malaysia dalam mendaulatkan kedudukan Islam di mata dunia.

Sebagai rekod, Malaysia pernah dilantik menganggotai kerusi Majlis Keselamatan PBB sebanyak tiga kali sebelum ini iaitu pada 1965 (berkongsi dengan Republik Czech), 1989-1990 dan yang terbaru ialah pada tahun 1999-2000.

Mengulas mengenai perkembangan kezaliman rejim Israel terhadap rakyat Gaza, Dr. Anwar memberitahu rakyat di negara Islam itu telah diserang bertali arus tanpa rasa peri kemanusiaan oleh rejim Netanyahu menggunakan senjata terkini dan canggih.

"Kami berada di bawah penjajahan haram Israel selama lebih 66 tahun, namun di sebalik semua kekejaman Israel terhadap orang awam yang menyebabkan sebanyak 1,850 syahid, kita masih yakin untuk meneruskan hidup.

"Kami berharap akan ada gencatan senjata supaya penduduk boleh bekerja dengan bebas, melihat rumah mereka malah dapat ke sekolah," katanya lagi.

Dalam siri serangan Israel sejak sebulan lalu, dilaporkan beratus-ratus umat Islam terkorban terutama bayi, kanak-kanak dan kaum wanita yang tidak berdosa, selain memusnahkan lebih setengah juta rumah umat Islam di Gaza.

Dr. Anwar turut mendedahkan punca utama Palestin diserang rejim laknatullah itu yang disifatkan sebagai "paranoid", takut pada kewujudan dan kekuatan umat Islam Palestin meskipun pernah ditawarkan mewujudkan "Kerajaan Perpaduan" di antara Palestin - Israel. -KedahNews.com