PAS menyifatkan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli membuat
kenyataan bodoh apabila mendedahkan cadangan PAS mahu Tan Sri Tengku
Razaleigh Hamzah dilantik sebagai perdana menteri jika Pakatan Rakyat
menang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
“Jika dia menganggap dia adalah pengarah strategi PKR, dia membuat
satu kenyataan bodoh,” kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali
kepada The Malaysian Insider.
Mustafa mengulas kenyataan Rafizi malam tadi yang mendedahkan
kononnya PAS mencadangkan ahli Parlimen Gua Musang daripada Umno itu
sebagai bakal perdana menteri jika Pakatan berjaya menawan Putrajaya.
Rafizi mendedahkan perkara itu pada forum berkenaan krisis menteri besar Selangor di Kuala Lumpur, malam tadi.
“Sebulan sebelum PRU13, pemimpin PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang,
Mohamad Sabu, Datuk Dr Haron Din, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk
Mustafa Ali semuanya berjumpa Anwar.
“Mereka kata mereka hendak menamakan pemimpin Umno, Tengku Razaleigh
sebagai perdana menteri kalau kita menang Putrajaya,” kata ahli Parlimen
Pandan itu.
Sumber: The Malaysian Insider