Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim disaran untuk bergabung dengan Barisan Nasional (BN)bagi membentuk sebuah kerajaan berkonsepkan ‘konsensus nasional’ di bawah pentadbirannya.
Cadangan itu dibuat oleh Ahli
Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang melihat ini satu jalan
terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik di Selangor.
Menurut Mohd Zuhdi yang sebelum
ini mencetuskan kontroversi berhubung analisisnya sekiranya PAS bertindak
keluar dari Pakatan Keadilan Rakyat (PKR) berkata, jawatan Menteri besar
Selangor harus dikekalkan walaupun Abdul Khalid kini merupakan Ahli Undangan
Negeri (Adun) Bebas setelah dipecat oleh parti itu.
"Langkah mengekalkan menteri
besar dan barisan exco sekarang adalah salah satu elemen penting kerana mereka
telah merancang program jangka panjang dan pendek sehingga Pilihan Raya Umum
Ke-14 akan datang untuk kepentingan rakyat Selangor.
"Sekiranya penukaran
berlaku, maka ia akan membantut perancangan tersebut, sekaligus menjejaskan
usaha yang dirancang kerajaan untuk rakyat," katanya dipetik dari Mstar
Online.
Sekiranya kerajaan berkonsepkan ‘kerajaan
konsensus’ berjaya dibentuk, BN yang menjadi pembangkang di Selangor perlu diberi peranan sebagai wakil penyemak dan
diiktiraf oleh kerajaan negeri bagi menjalankan proses tersebut.
"Sebagai contoh seorang Ahli
Dewan Undangan Negeri (Adun) BN dilantik untuk mengetuai Jawatankuasa Pilihan
Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat).
"Konsensus ini diperkukuhkan
dengan pembentukan Majlis Pemuafakatan Selangor yang melibatkan parti dari PR,
BN dan Adun Bebas," katanya lagi.
Sebelum ini, Ketua Pembangkang,
Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menyuarakan pendapat berhubung pelaksanaan
kerajaan berkonsepkan 'konsensus nasional’ yang dilihat sangat penting bagi
rakyat di negara ini.
Cadangan tersebut telah disambut
baik oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak sebelum ini yang
bersetuju perbezaan politik di negara ini perlu dihakis bagi kepentingan
rakyat. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor