PAS Mahu PKR Serah Kembali DUN Pengkalan Kubor

Dewan Muslimat PAS mendesak supaya Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengembalikan semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Tumpat pada Pilihanraya Kecil (PRK) yang bakal diadakan nanti.

Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof berkata,  berdasarkan pengalaman sebelum ini mungkin sudah tiba masanya PAS memegang kembali penguasaan politik di DUN Pengkalan Kubor setelah dua penggal diberikan kepada PKR di situ.

Menurut Siti Zailah, pihaknya yakin kebijaksanaan kepimpinan yang ada akan mempertimbangkan desakan tersebut berdasarkan sejarah lalu untuk memberi laluan kepada partinya.

"Setelah beberapa penggal sebelum ini kita telah memberi laluan kepada PKR untuk bertanding tetapi tidak diberi kemenangan. Bermakna rakyat perlukan selera baharu.

"Pas perlu mengisi tempat itu (Dun Pengkalan Kubor) kerana paling penting adalah untuk mencapai kemenangan dan saya berharap perkara ini dipertimbangkan pihak atasan,” katanya kepada media, semalam.

Sebelum itu, Siti Zailah hadir di Muktamar Dewan Muslimat Pas Kelantan Ke-41 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, dan turut dimeriahkan oleh Timbalan Ketua Muslimat Pas Kelantan, Wan Ubaidah Omar.

Siti Zailah turut menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada pucuk pimpinan untuk menentukan calon yang layak untuk bertanding di DUN tersebut.

“Kita belum lagi menentukan siapa calonnya. Masih awal untuk ulas, tidak kira daripada Muslimat atau Muslimin saya yakin Pas mempunyai ramai individu yang berkelayakan,” katanya.

Kerusi DUN Pengkalan Kubor kosong selepas penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar meninggal dunia akibat kanser pada Rabu lalu.

Ketua Dewan Muslimat PAS itu juga mengaku bahawa PRK DUN Pengkalan Kubor kali ini merupakan satu cabaran yang agak besar ekoran kedudukan DUN itu yang terletak di dalam kawasan Menteri Besar.

Pengkalan Kubor terletak di bawah Parlimen Tumpat yang mempunyai lima DUN di bawahnya dan empat daripada DUN berkenaan dimenangi oleh PAS pada Pilhanraya Umum (PRU) ke-13 yang lalu. -KedahNews.com