PAS Tegas Enggan Turut "Perintah" DAP, PKR

PAS menegaskan bahawa mereka tetap akan menghantar lebih dari satu nama calon Menteri Besar kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, sebagaimana yang dititah baginda dalam kenyataan akhbar Istana Kayangan baru-baru ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapa Ali dalam kenyataannya memberitahu media bahawa partinya menghormati titah Sultan Selangor dan enggan berganjak dari keputusan tersebut meskipun bertentangan dengan "perintah" PKR dan DAP.

"PAS menghormati titah Tuanku dan kita akan menghantar tidak kurang dari dua nama," katanya yang dipetik dari laman media rasmi PAS, Harakahdaily.

Tindakan tegas PAS tersebut jelas membantah keputusan yang telah dipersetuju dua rakan sekutunya, DAP dan PKR, yang sebelum ini memilih Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal Menteri Besar Selangor.

PAS sebelum ini enggan bersetuju dengan gerakan PKR dan DAP untuk menggulingkan kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim dan berikrar untuk mempertahan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Selangor.

Bagaimanapun, parti itu berubah membuat "pusingan-U" selepas mesyuarat AJK PAS Pusat berlangsung untuk bersetuju melucutkan jawatan Khalid, meskipun Menteri Besar itu mendapat sokongan dari Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Dewan Ulama dan Majlis Syura PAS.

Meskipun begitu, PAS dilihat seolah-olah menolak pemilihan isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Menteri Besar apabila turut mencadangkan nama Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Tindakan tersebut diyakini diputuskan ekoran pucuk pimpinan PAS yang dikatakan kurang bersetuju menjadikan seorang wanita sebagai Menteri Besar, khususnya Wan Azizah yang merupakan isteri kepada Anwar, bagi mengelak dakwaan wujudnya amalan nepotisme di dalam Pakatan Rakyat.

Namun tindakan tersebut telah mencetus kemarahan DAP apabila Pengerusi parti itu di Selangor, Tony Pua seolah-olah mengugut untuk membubarkan Pakatan Rakyat disebabkan kedegilan PAS yang enggan taat pada "perintah" DAP dan PKR tersebut. -KedahNews.com