KUALA LUMPUR – Pas hari ini menafikan telah mengeluarkan
sepucuk surat rasmi kononnya parti itu menarik diri daripada Pakatan
Rakyat, kata Naib Presidennya, Salahuddin Ayub.
Beliau berkata, surat layang itu, yang menggunakan kepala surat rasmi
Pas, dan kononnya ditandatangani Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali,
adalah permainan jahat pihak tertentu untuk terus memecah belahkan
komponen dalam Pakatan Rakyat.
“Saya ingin menegaskan bahawa pendirian Pas sehingga hari ini masih
lagi bersama dengan Pakatan Rakyat. Dan pendirian itu tidak pernah
berubah setakat hari ini.
“Jadi saya menyifatkan apa yang berlaku sekarang ini berhubung
penyebaran surat dalam alam siber adalah satu tindakan tidak
bertanggungjawab untuk cuba memecahbelahkan Pakatan Rakyat,” katanya
ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata, taktik seperti itu merupakan lumrah dalam permainan
politik sekarang dan beliau tidak menganggap tindakan penyebaran surat
palsu itu akan memberi kesan kepada keutuhan parti mahupun Pakatan
Rakyat sendiri.
Surat palsu itu, bertarikh 1 Ogos 2014, mendakwa kononnya mesyuarat
tergempar Jawatankuasa Kerja Pas Pusat telah mengambil keputusan untuk
menarik diri daripada Pakatan Rakyat, kononnya akibat perbuatan DAP yang
tidak menghormati rakan komponennya.
Selain meminta kesemua anggota parti menghormati keputusan itu, surat
itu turut menegaskan bahawa Pas tidak akan bekerjasama dengan Barisan
Nasional dalam memperjuangkan agenda Negara Islam dan pelaksanaan hudud.
Mengulas lanjut, Salahudin berkata, surat itu dipercayai sengaja
disebarkan pihak tertentu ekoran hubungan yang agak dingin antara
kedua-dua parti itu, berpunca daripada krisis pertukaran Menteri Besar
Selangor.
“Saya rasa memang yang penting bagi mereka yang ingin melihat
perpecahan itu, mereka akan cuba untuk melihat Pas sebagai
puncanya…permainan itu saya cukup faham,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan terdapat sebilangan pemimpin kanan Pas,
termasuk presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan Mursyidul Am Pas,
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menganggap keputusan PKR untuk
menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Datuk Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail tidak wajar.
Hubungan dingin parti dalam Pakatan Rakyat turut diburukkan lagi
dengan penyebaran sedutan perbualan kontroversi dalam kumpulan Whatsapps
di kalangan anggota Jawatankuasa Pas Pusat apabila Dr Mohd Zuhdi
Marzuki didakwa telah membentangkan senario sekiranya Pas keluar
daripada Pakatan Rakyat. – BERNAMA