PAS Tidak Takut Keluar Pakatan Rakyat


Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Ahmad Yakob hari ini menyatakan kesiapsagaan mereka sekiranya PAS ditakdirkan keluar dari Pakatan Rakyat (PR).

Ini disebabkan oleh perbezaan pendapat PAS dan parti komponen PR berkaitan kedudukan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ahmad Yakob turut menyatakan bahawa PAS 'tidak gentar' untuk berjuang bersendirian kerana mengikut sejarah, parti itu pernah berjuang bersendirian selepas keluar daripada komponen Barisan Nasional dan juga pakatan pembangkang bersama Semangat 46.


“Seandainya kita (PAS) bersendirian kita terima. Ini sejarah-sejarah yang telah disebut oleh Tok Guru (Nik Abdul Aziz). Laluan PAS ini bukan mudah.

“Keputusan Majlis Syura Ulama PAS telah membuat ketetapan mengenai keputusan itu. Ia merujuk kepada lunas-lunas perlembagaan semasa membuat keputusan itu,” katanya yang dipetik dari laman mynewshub.my

Untuk pengetahuan, sebelum Majlis Syura Ulama PAS telah menegaskan bahawa Abdul Khalid tidak boleh digugurkan selagi beliau tidak disabitkan dengan sebarang pelanggaran terhadap amanah yang mewajarkan beliau disingkirkan.

Kemelut politik Selangor sampai ke kemuncaknya apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertindak memecat Abdul Khalid daripada parti itu berkuat kuasa serta merta. 

Pemecatan itu dikuatkuasakan atas alasan yang tidak relevan, iaitu pengingkaran Abdul khalid dalam keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat memilih Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baru.

Mengulas isu yang sama, Ahmad Yakob turut berkata PAS bagaimanapun mahu isu itu diselesaikan dengan baik dan menafikan kemelut ini telah menyebabkan perpecahan dalaman gabungan pembangkang.

“Tidak seperti itu. Ini suatu yang memberi kematangan dalam berpolitik dan saya minta biarlah semuanya bertenang dan mencari jalan keluar terbaik.

“Kalau Dewan Undangan Negeri dibubarkan pun ia ada masalah juga,” katanya lagi.

“Itu terpulang dan perkara itu kita tak boleh komen kerana itu adalah hak dia,” tegasnya ketika ditanya sama ada perlu Abdul Khalid menyertai PAS berikutan beliau kini merupakan anggota DUN Bebas. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com