Polis sudah menahan sepasang kekasih berusia 21 tahun dan 19
tahun disyaki terbabit pembunuhan seorang kakitangan Kompleks Sukan
Nilai, Amir Fazli Suhaimi, 18, yang ditemui tertiarap di sebuah lubang
di tapak pembinaan Batu 3, Jalan Labu di sini, semalam.
Sumber polis berkata, pihaknya menahan suspek lelaki berusia 21 tahun
yang juga kakitangan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) bersama
kekasihnya berusia 19 tahun di Ampangan di sini, kira-kira jam 6 petang
semalam.
Katanya, kedua dua suspek bersama tiga yang masih bebas disyaki
menyebabkan kematian Amir Fazli yang dihimpit menggunakan motosikal
sebelum mangsa terjatuh dan dipercayai dipukul hingga terbunuh di lokasi
kejadian.
Katanya, pihaknya akan memohon reman kedua dua suspek jam 2 petang
ini di Mahkamah Seremban selain memburu tiga lagi suspek yang masih
menghilangkan diri.
“Siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan mangsa yang
menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z membunyikan enjin motosikal
kepada suspek di sebuah persimpangan lampu isyarat di Senawang sebelum
dia dikejar hingga ke Jalan Labu.
“Akhirnya mangsa terjatuh daripada motosikal dan dipercayai dipukul hingga terbunuh,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – Harian Metro