Seorang pegawai Cawangan Khas Bukit Aman memberitahu Mahkamah
Tinggi di sini beliau ternampak mayat tiga anggota polis ketika
mengintai dari tingkap untuk meninjau keadaan di luar selepas berlaku
satu pertempuran di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna tahun lepas.
ASP Azra Nursaffree Ramli berkata ketika itu, beliau terperangkap di
dalam sebuah rumah bernombor 25 di kampung air berkenaan bersama dua
rakan setugas serta dua orang lain (seorang wanita tua dan anak
perempuannya) selama hampir 15 jam sebelum mengambil keputusan untuk
memeriksa sama ada keadaan di luar kembali tenang.
Pada 3 Mac tahun lepas, katanya beliau mengintai dari tingkap
bertentang dengan rumah bernombor 27 di mana beliau nampak kilauan
cahaya, dipercayai daripada tembakan berulang kali yang dilepaskan mulai
kira-kira 7.30 malam sebelumnya, dan ternampak mayat rakannya yang
dalam keadaan mengerikan kira-kira 10 meter dari situ.
“Satu berada di atas beranda (rumah bernombor 27), yang saya percaya
adalah Sarjan Baharin Hamid, dengan keadan kepalanya cedera teruk.
“Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam keadaan tertiarap di
mana kedua-dua tangannya ke belakang dan tanpa kepala, dan seorang lagi
anggota PGA terapung di atas air di bawah rumah nombor 27 dengan
kepalanya dalam keadaan cedera teruk,” katanya.
Azra Nursaffree berkata beliau juga ternampak dua mayat penceroboh,
satu terapung di dalam air di bawah rumah bernombor 27 dan satu lagi di
depannya.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar sama ada
beliau menghubungi Bukit Aman setelah ternampak mayat itu, saksi
berkenaan berkata: “Ya”.
Pegawai itu juga memberitahu mahkamah bahawa beliau dan dua lagi
anggota polis, yang terperangkap di dalam rumah itu, diselamatkan pada
kira-kira 6 petang dan dibawa ke Hospital Semporna.
Katanya wanita dan anak perempuanya itu juga diselamatkan tetapi beliau tidak tahu mereka dibawa ke mana.
Terdahulu, mahkamah ditangguhkan seketika bagi membolehkan saksi
berkenaan bertenang selepas menjadi emosional ketika menjawab soalan
yang diajukan kepadanya.
Azra Nursaffree tergagap-gagap ketika menceritakan kembali tentang
bunyi tembakan yang didengarnya pada 2 Mac tahun lepas apabila
Allahyarham Baharin berlari ke rumah bernombor 27 dari rumah bernombor
25 untuk menangkap seorang individu dikenali sebagai ‘Imam Tua’, yang
dipercayai telibat dalam pencerobohan di Lahad Datu pada Februari tahun
lepas.
Ini mendorong Hakim Stephen Chung bertanya saksi itu sama ada beliau
berkeadan baik dan selepas itu Mohd Dusuki memohon penangguhan untuk
seketika.
Tiga puluh tertuduh, terdiri daripada 27 rakyat Filipina dan tiga
penduduk tempatan, dibicarakan dalm kes ini, dengan sesetengah mereka
menghadapi tuduhan menjadi anggota sebuh kumpulan pengganas atau
melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, mencari anggota untuk
sebuah kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang
mereka tahu adalah anggota sebuah kumpulan pengganas.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas.
Perbicaraan di Jabatan Penjara Sabah ini bersambung esok.
– BERNAMA