Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail membidas 'tuduhan liar' pihak tertentu yang mendakwa bahawa beliau ‘tidur ketika bertugas’.
'Tuduhan liar' tersebut dilemparkan ekoran ramai yang bertanggapan bahawa pejabat Peguam Negara tidak menjalankan tugas dengan baik serta melakukan pendakwaan terpilih.
“Saya kena berfikir bagaimana untuk saya bawa kes saya. We are not dare to win the case unless you dont care what happen. Hari ini kamu kata hitam itu putih, esok kamu kata putih itu putih asalkan kamu menang kes itu.
“Bagi kami, mesti ada polisi bagaimana kamu tentukan undang-undang itu, dan apa yang bakal terjadi jika kita ambil tindakan undang-undang sebegitu untuk jangka masa panjang, itu bagaimana atau cara kami menjalankan tugas kami,” kata Gani yang dipetik dari laman Bnbbc.my.
Gani menegaskan pihaknya menjalankan tugas dengan terperinci termasuk memberikan laporan berkala kepada semua pihak termasuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada setiap minggu pada hari Khamis.
“Kami akan keluarkan laporan pada setiap Khamis, kenapa hari Khamis, kerana hari Jumaat adalah mesyuarat Kabinet, semua dapat salinan (laporan) termasuk Perdana Menteri, semua agensi berkaitan dapat salinan termasuk KDN, Ketua Polis Negara juga dapat,” katanya.
Penjelasan itu dibuatnya kerana terlalu banyak keluhan orang ramai dan turut dikritik hebat di media maya sejak kebelakangan ini.
Gani meminta agar masyarakat harus memahami bahawa pejabat Peguam Negara telah berusaha sehabis baik dalam perlaksanaan tugas mereka.
“Kami perlu berhati-hati, tetapi itu tidak bermakna kami sudah putus asa dan biarkan (kes) begitu saja, kami masih meneliti kes yang ada dan lihat bagaimana untuk kami bertindak ke atas kes terbabit dan bagaimana nak buat,” tambah beliau.
Katanya, setiap kes mempunyai cabarannya tersendiri dan adalah tidak adil untuk pihaknya membuat pertuduhan tanpa menjalankan siasatan secara menyeluruh dan terperinci.
Beliau memberikan contoh penceramah bebas Sahul Hamid dan Siti Fairah Asyikin Kamaruddin (Kiki), wanita yang berkasar terhadap seorang warga emas yang melanggar kenderaannya.
“Sahul Hamid, kes dia disebut pada Khamis, saya rasa laporan dibuat pada Khamis, dan pada hari Jumaat baru polis buka kertas siasatan. Kalau begitu, apa yang kalian jangka kami boleh buat? Adakah kami boleh tangkap orang tanpa buat siasatan, adakah itu adil bagi mereka dan juga kami.
“Tak bolehlah kita nak tuduh orang tanpa buat siasatan, siasatan kena lengkap dahulu, hantar fail ke sini dan kemudian baru kami putuskan. Macam kes Sahul ini, pada Khamis buat laporan, tetapi kertas siasatan baru buka yang mana polis daftar kes pada Jumaat, adakah itu adil bagi kami?,” soalnya.
Selain itu, Gani turut menjelaskan terdapat kekangan-kekangan yang dikenakan terhadap pihaknya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam pengendalian kes, terutamanya yang melibatkan medium media sosial.
Menurut Gani lagi, adalah menjadi satu cabaran besar kepada pihak polis terutamanya untuk mencari bukti membabitkan media sosial apabila terpaksa berdepan dengan kesukaran mendapatkan 'protokol internet', identiti dan akaun emel palsu.
“Perkara sebegitu juga menyukarkan siasatan PDRM sekaligus melambatkan proses pendakwaan,” ujar beliau.
Namun jelas beliau, keadaan berbeza sekiranya individu terbabit mengaku kesalahannya secara umum dan kebiasaanya kes sebegitu boleh diselesaikan dengan cepat sambil merujuk kes Siti Fairah Asyikin dan Shahul Hamid.
Gani ketika menjawab kepada dakwaan-dakwaan yang mengatakan beliau tidak lagi relevan menjalankan tugasnya selaku Peguam Negara, beliau hanya menjawab “Itu pendapat peribadi, biarlah orang nak kata apa. Orang kutuk saya, saya masih boleh senyum, tapi jangan buat fitnah, saya boleh saman,” tegasnya.
Gani juga manafikan bahawa pihaknya tidak pernah sekali-kali menjalankan pendakwaan terpilih seperti lambat bertindak jika kes membabitkan kaum Cina dan cepat jika dilakukan oleh kaum Melayu.
Status kes membabitkan pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee, Shahul Hamid, Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Delima, RSN Rayer dan penyanyi rap kontroversi Wee Meng Chee Wee (Namewee), telahpun dirujuk kepada pihaknya dan tindakan susulan akan diambil. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com