Pelabur Pilih Kedah Berbanding Negeri Guan Eng

ALOR SETAR - Kedah berjaya mengatasi Pulau Pinang dari segi kemasukan pelaburan sehingga Mei lalu apabila merekodkan RM4 bilion iaitu melebihi RM900 juta berbanding jirannya itu yang hanya menerima RM3.1 bilion.

Exco Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Hal Ehwal Pengguna, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, kebanyakannya membabitkan kemasukan baru dan pelaburan semula di Kulim Hi-Tech Park (KHTP) dan kawasan perindustrian di Sungai Petani.

Beliau berkata, kebanyakannya berminat melabur kali pertama atau membina kilang di KHTP kerana mempunyai pelbagai kemudahan dan infrastruktur yang bersesuaian dengan persekitaran dan suasana semasa.

Menurutnya, KHTP mampu memberi 'value for money' untuk setiap pelaburan yang dilakukan berikutan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang diperlukan.

"KHTP mempunyai pihak berkuasa tempatan sendiri. Semua proses permohonan dan kelulusan hanya perlu melalui pusat sehentinya yang mengambil masa begitu singkat berbanding prosedur di jabatan kerajaan yang lain.

"Ia juga mempunyai tanah yang luas dan mampu memenuhi permintaan dari syarikat atau pelabur yang berminat, terutama untuk tujuan pelaburan semula atau membesarkan operasi kilang," katanya ketika ditemui Sinar Harian di lobi Dun Kedah di sini hari ini.

Ku Abdul Rahman berkata, harga tanah yang kompetitif di kawasan itu berbanding Pulau Pinang turut menjadi tarikan utama pelabur luar dan tempatan membuat pertimbangan melabur di KHTP.

Sumber: Sinar Harian