PELAN MENYELAMAT MAS TUNTUT AMANAH PEKERJA DAN KESATUAN SEKERJA


KUALA LUMPUR - Pelan menyelamat Malaysia Airlines (MAS) yang akan diumumkan oleh Khazanah Nasional Berhad pada hujung bulan ini sukar mencapai matlamatnya tanpa kesetiaan dan amanah oleh para pekerja dan kesatuan sekerjanya, kata seorang ahli akademik.

Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, Timbalan Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad di Universiti Utara Malaysia, berkata apa yang perlu dilakukan sekarang ialah semua pihak, tidak kira daripada peringkat atasan atau bawahan hendaklah bersama-sama berganding bahu dengan niat memulihkan semula MAS sebagai syarikat penerbangan yang unggul.

"Kalau pekerjanya tidak dapat menjayakan misi dan visi kehendak pengurusan, MAS tidak akan pergi ke mana-mana. Begitu juga dengan keadaan MAS ketika ini apabila sudah didampar, dibentangkan polisi dan visi yang baharu, para pekerjanya harus setia dan amanah dalam menjayakan matlamat ini," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata dalam keadaan MAS kini dilanda kegawatan kewangan yang teruk, ini bukanlah masanya untuk para pekerja bertanya apakah boleh dilakukan syarikat itu untuk mereka tetapi sebaliknya, sebagai pekerja apakah sumbangan dan pengorbanan mereka untuk mengeluarkan MS daripada kepompong masalah kewangannya.

Dr Ahmad Zaharuddin memberi contoh yang pernah berlaku di Singapura, apabila Singapore Airlines menghadapi masalah kewangan, purata pekerjanya bersetuju untuk menerima potongan gaji dan ramai di antara mereka sendiri yang berkorban dengan mengatakan sanggup meninggalkan syarikat penerbangan itu kerana masalah utama ialah masalah kewangan.

"Jadi untuk menyelamatkan syarikat tersebut, dana harus diminimumkan pengeluarannya. Antara cara lain ialah seperti mana yang dilakukan oleh Singapore Airlines dengan memotong gaji. Adakah para pekerja di setiap peringkat pengurusan dan juga di bawah Kesatuan Sekerja MAS sanggup berkorban sebegitu kerana sayangkan MAS," tanya beliau.

Dr Ahmad Zaharuddin juga meminta para pengkritik pelan pemulihan MAS supaya sama-sama berfikir dan duduk semeja berbincang dengan pihak-pihak yang berkepentingan kerana katanya, memang senang mengkritik tetapi apakah idea-idea yang mereka berikan itu boleh membantu ataupun menjahanamkan.

Beliau tidak bersetuju dengan pandangan bahawa oleh kerana MAS telah menghadapi masalah kewangan selama berpuluh tahun, negara tidak perlu lagi menanggung kerugiannya atau lebih baik ditutup.

"Saya tidak bersetuju, yang penting sekarang ini adalah bagaimana kita menarik rambut daripada tepung, rambut tidak terputus, tepung tidak berselerak. Kita perlukan para kakitangan, kerana mereka adalah pendukung kepada MAS, kita perlukan pengurusan MAS, kerana mereka juga yang akan menjayakan misi ini," katanya.

MAS mencatat kerugian sebanyak RM1.3 bilion bagi tahun kewangan 2013 dan RM400 juta pada suku pertama 2014. MAS dijangka mencatatkan kerugian berterusan pada suku kedua 2014 susulan pembatalan tiket penerbangan serta tempahan ekoran insiden MH370 dan MH17.

Investment Bank dalam nota kajiannya menyatakan, penswastaan MAS adalah cara terbaik bagi menyusun semula operasi dan memperbaiki kedudukan syarikat.

Meskipun MAS berdepan dengan krisis kewangan dan masalah imej ekoran tragedi MH370 and MH17, pemegang saham utamanya, Khazanah Nasional Bhd pada awal Ogos lalu telah mengambil langkah berani apabila mengumumkan untuk mengambil alih MAS.

Menurut Dr Ahmad Zaharuddin, walaupun para penganalisis menyatakan langkah penswastaan boleh menyelamatkan MAS, sehingga kini tiada pihak ketiga selain Khazanah Nasional yang tampil untuk 'membeli' MAS.

"Secara realistik, adakah pihak ketiga mahu membeli MAS dalam keadaan sedia ada? Kerugian tahun demi tahun, tenaga kerja yang berlebihan dan kontrak yang berat sebelah merupakan masalah-masalah utama yang membebankan MAS," katanya.

"Cuba fikir, kalau Khazanah tidak tampil, bolehkah MAS terus beroperasi? Dan sekiranya perbalahan dalaman MAS menyebabkan Khazanah menarik diri, apa akan jadi kepada syarikat penerbangan ini?," tanya beliau.

Mengenai pelbagai tuntutan dan syarat yang dibuat oleh kesatuan sekerja MAS terhadap syarikat itu, beliau berkata mereka perlu bersikap bertanggungjawab dan tidak harus menjadi batu penghalang kepada pelan pemulihan itu.

"Semua rakyat tidak mahu MAS ditutup, kita sayangkan MAS. Jika tidak ada MAS, tidak adalah Kesatuan Sekerja MAS," katanya. - BERNAMA