Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Di Kulim Beri Manfaat Kepada Semua Pihak - Norsabrina


Alor Setar, 20 Ogos – Cadangan pembinaan  sebuah lapangan terbang antarabangsa di Kulim dijangka akan memberi manfaat kepada semua pihak terutamanya  wilayah utara dan wilayah selatan Thailand.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi, Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi Kedah Norsabrina Mohd Noor berkata, pembinaan projek yang lebih dikenali sebagai Kulim –XP(K-XP) berkeluasan lapan kali ganda berbanding Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.

Norsabarina berkata, berdasarkan kajian yang dibuat oleh pihak kerajaan negeri, keluasan lapangan terbang ini dijangka mampu menempatkan pelbagai kemudahan-kemudahan terkini untuk tempoh masa melebihi 30 hingga 50 tahun berbanding LTAPP yang hanya mampu bertahan 10 tahun lagi.

“Dengan wujudnya lapangan terbang tersebut, kawasan sekitar sepanjang pantai termasuk daerah Selatan Kedah, Perak Utara, Seberang Perai Tengah dan Selatan akan mempunyai satu rantaian pembangunan dengan kawasan sekitarnya turut mengalami limpahan,” katanya dipetik melalui Bernama ketika hadir pada majlis Rumah Terbuka Kulim Hi-Tech Park di sini semalam.

Selain itu, Ahli Undangan Negeri (Adun) Bandar Baharu berkata lagi,dengan ada Lebuhraya Bandar Baharu-Sungai Petani, ia pasti akan memendekkan jarak kedua-dua tempat daripada 100 kilometer kepada 80 kilometer.

“Secara keseluruhannya, pembangunan infrastruktur sebuah lebuh raya baharu jaraknya anggaran 80km yang akan bermula dari Plaza Tol Bagan Samak, di Bandar Baharu sehingga Kawasan Perindustrian Teknologi Tinggi Kulim hingga Sungai Petani kelak, akan wujud beberapa pekan baharu seperti Sungai Kob, Padang Serai dan juga Pekan Mahang,” katanya lagi.

Di samping itu juga, Norsabarina bekata, dia berharap pihak kerajaan negeri akan membina sebuah hospital  yang dengan pelbagai kemudahan seiring pembangunan yang dirancang di Bandar Baharu dan kawasan sekitarnya.

Jelasnya lagi, Pihak Berkuasa Pelaksaan Koridor Utara (NCIA) dan KTPC sedang giat bekerjasama dalam mewujudkan pelbagai kemudahan terutamanya dalam bidang tenaga mahir dalam kalangan belia sebagai satu usaha kerajaan negeri membuku peluang pekerjaan kepada mereka. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor