PETALING JAYA – Mohamed Azmin Ali mengekalkan jawatan
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas meraih 22,562 undi sekali
gus menewaskan pencabarnya Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail
yang mendapat 10,743 undi.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim, yang sebelum ini pencabar utama Azmin, tidak lagi
bertanding selepas dipecat dari parti pada 9 Ogos lalu.
Datin Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail mengekalkan kedudukannya sebagai Presiden PKR apabila menang tanpa
bertanding dalam pemilihan parti.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan
Pusat (JPP), Datuk Johari Abdul, mengumumkan keputusan pemilihan parti itu di
ibu pejabat parti itu di sini, sebentar tadi.
Mengikut Johari, bagi jawatan
Naib Presiden, gandingan tiga pemimpin PKR sebelum ini yang membentuk kumpulan
bersama iaitu penyandangnya, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua serta Pengarah
Strategi, Rafizi Ramli menduduki empat teratas jawatan berkenaan.
Nurul Izzah yang juga Ahli
Parlimen Lembah Pantai memperoleh 29,712 undi diikuti Tian Chua dengan 22,324
undi dan Rafizi (18,887).
Ketua Angkatan Muda Keadilan
(AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin yang dikaitkan dengan kumpulan Mohamed Azmin
turut mengisi satu daripada empat jawatan Naib Presiden PKR selepas mendapat
19,839 undi.
Sumber : BH Online