Pemilik Tanah Punca Rumah Banjir Di Jeniang

SUNGAI PETANI - “Dalam tempoh seminggu sahaja, sudah dua kali rumah kami dimasuki air."

Demikian rungutan penduduk Kampung Jeniang yang sudah tidak tahan apabila terpaksa mencuci rumah setiap kali hujan.

Irwan Ahmad, 33, berkata, kejadian Sabtu lalu mengejutkan dia dan keluarga yang pada ketika itu sedang membuat persiapan memasak untuk menjalankan perniagaan roti canai.

Dakwanya, akibat rumah dinaiki air sehingga paras lutut, penduduk terpaksa menumpukan perhatian kepada kerja pembersihan apabila air longkang melimpah ke dalam rumah.

“Laluan longkang dekat sini agak sempit menyebabkan saluran tersumbat, seterusnya air masuk ke rumah dalam sekelip mata,” katanya.

Akibat kejadian itu, beberapa penduduk sekitar turut ditenggelami air.

Katanya, perabot yang berada di rumah termasuk beberapa perkakasan rumah lain turut terjejas.

Dakwanya, hujan lebat beberapa kali dalam tempoh seminggu menyebabkan kawasan rumah yang berada di kedudukan lebih rendah dari jalan raya turut ditenggelami air.

Selain itu, Chik Saad, 78, mendakwa, kerja mencuci mengambil masa panjang sehingga menjejaskan aktiviti seharian lain.

Keadaan terburuk

Penduduk, Hussain Saad, 79, mendakwa, dia tiada di rumah Sabtu lalu kerana berkunjung ke Sungai Petani atas beberapa urusan.

“Sekembali ke rumah pada jam 9 malam, saya terkejut apabila mendapati rumah sudah tenggelam dengan perkakasan rumah terapung dan terjejas akibat hujan beberapa jam lalu,” katanya.

Katanya, akibat tidak mampu menguruskan kesemuanya, dia hanya mencuci bahagian penting sahaja sebelum menunggu anaknya pulang.

“Keadaan ini kerap berlaku sejak beberapa tahun lalu, kali ini kejadian terburuk kerana paras air meningkat dan bertakung dalam rumah,” dakwanya.

Kerja selenggara berkala

Sementara itu, Jurucakap Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) menyatakan bahawa kontraktor Jabatan Kerja Raya (JKR), Belati Wangsa telah pun dimaklumkan mengenai kejadian yang berlaku di pekan Jeniang itu.

“MPSPK dimaklumkan kerja penyelenggaraan dilakukan secara berkala, bagaimanapun, ia tidak dapat dilakukan di bahagian premis perniagaan kerana longkang di kawasan itu tertimbus dengan tanah.

“Siasatan dan penyelesaian terhadap masalah itu sedang dijalankan dan kedua-dua pihak sama ada MPSPK mahupun JKR akan melakukan siasatan bersama berhubung perkara itu,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, kerja penyelenggaraan dilakukan di bahagian longkang terbuka, namun hanya boleh dilakukan secara minima oleh pekerja kebersihan.

Sistem saliran tak sistematik

Ahli Majlis MPSPK, Sairi Abdul Halim berkata, kejadian dikenal pasti berpunca daripada sistem saliran yang tidak sistematik.

“Binaan premis perniagaan dilakukan pemilik tanah tanpa perancangan dan kelulusan pihak berkaitan menyebabkan ia tidak teratur.

“Ada juga longkang tertutup menyebabkan penyelenggaraan tidak dapat dilakukan dengan lancar yang akhirnya menyebabkan longkang tersumbat,” katanya.

Bagaimanapun, pihaknya telah mengemukakan aduan berkenaan dalam mesyuarat untuk tindakan bersama dan kini sedang dikemukakan kepada pihak terbabit untuk penyelesaian. -Sinar Harian