Pemuda Umno Sedia Ke Zon Perang Di Gaza

Khairul Azwan (duduk, dua kiri) pada sidang media semalam.

Ipoh – Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun menegaskan setiap ahlinya sentiasa bersiap sedia sekiranya diminta menyertai rombongan misi bantuan kemanusian ke Gaza.

Khairul Azwan berkata, Pemuda Umno sentiasa menyokong usaha kerajaan dalam membantu rakyat di Gaza yang dalam keadaan menderita akibat serang Israel.

Menurut Khairul Azwan, pemimpin tertinggi dalam Pemuda Umno yang diketuai oleh Khairy Jamaluddin sedang merancang untuk menghantar ahlinya ke Gaza bagi membantu penduduk di sana.

“Dalam masa terdekat ini kita akan sertai rombongan pertama yang diketuai oleh (Pengerusi Biro Kebajikan Umno), Dato’ Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

“Bagaimanapun, berdasarkan keadaan semasa, kita masih belum menerima ‘lampu hijau’ untuk pergi ke sana berikutan serangan masih lagi dilancarkan oleh tentera Israel dan pintu sempadan di Raffah juga masih ditutup,” katanya ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri bersama Pemuda Umno Perak, di sini, semalam.

Selain itu, Khairul Azwan berkata, bilangan ahli yang akan menyertai misi bantuan ke Gaza masih dalam perbincangan dan pihaknya sedang menunggu keputusan daripada pihak berkuasa di sana bagi menghantar bantuan kerana wliayah berkenaan masih berada di dalam zon perang.

“Kita ada pengalaman menghantar pasukan ke Gaza sebelum ini dan kita sasarkan mungkin 20 hingga 30 ahli rombongan kali ini.

“Tetapi ianya bergantung kepada pihak berkuasa di sana kerana Gaza telah diisytihar sebagai war zone pada ketika ini,” tambahnya lagi.-KedahNews.com/Mohd Shahir shukor