Pengelak Cukai Jangan Cepat Panik - Chua Tee Yong

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong baru-baru ini menyangkal laporan media tempatan bahawa pengelak cukai, walau serendah RM200, dihalang daripada ke luar negara.

Beliau menjelaskan larangan ke luar negara itu hanya kepada mereka yang sengaja mengabaikan tanggungjawab mereka.

"Ini sebahagian daripada proses Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mendapatkan semula cukai. Jangan panik.

"Larangan hanya terpakai kepada mereka yang mempunyai tunggakan untuk tempoh yang lama. Mereka ini tidak tampil berbincang dengan LHDN berhubung skim pembayaran serta mengabaikan notis," kata Chua yang dipetik dari laman Mstar.com.my.

Chua berkata mereka yang disenarai hitam akan menerima notis sama yang dihantar kepada LHDN, polis dan imigresen.

Pengelak cukai yang ditahan oleh imigresen di lapangan terbang mesti menjelaskan semua cukai tertunggak sekiranya mahu meneruskan perjalanan.

Chua turut berkata, kira-kira 97,000 pembayar cukai gagal melunaskan cukai berjumlah RM2.88 bilion kepada LHDN, setakat ini.

Orang ramai boleh mengakses ke laman sesawang www.spi2.imi.gov.my untuk menyemak nama ''pembayar ingkar'' yang disenarai hitam. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com