Penoreh Getah "Kaya" Semula Disember Ini?



JASIN – Harga getah dijangka stabil pada paras antara RM5.25 hingga RM5.70 sekilogram sehingga penghujung tahun ini, kata Pengerusi Lembaga Getah Malaysia, Datuk Ahmad Hamzah.

Beliau berkata jangkaan itu berdasarkan beberapa faktor termasuk purata harga semasa dan permintaan serta penawaran.

“Sehingga semalam (Jumaat), harga terakhir getah jenis SMR 20 dicatatkan pada paras RM5.37 sekilogram dan dijangka terus berada sekitar RM5.25 hingga RM5.70 sampai Disember ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Pernu, Jasin, Sabtu.

Beliau berkata harga pasaran komoditi itu ketika ini menurun disebabkan penawarannya yang lebih tinggi berbanding permintaan di pasaran.

Ahmad berkata ia juga berikutan permintaan semakin berkurangan daripada negara pengguna utama iaitu China, Jepun, Amerika Syarikat dan Eropah kerana faktor ekonomi yang lemah.

Menurutnya, harga getah dijangka terus merudum jika Thailand yang juga negara pengeluar utama getah dunia mengeluarkan simpanan stok getah mereka untuk dijual di pasaran.

Justeru, kata Ahmad, pekebun kecil digalakkan mengeluarkan getah jenis lateks kerana kebanyakan produk seperti sarung tangan dan kondom menggunakan lateks berbanding getah asli.

Selain itu, pekebun kecil boleh melibatkan diri dalam sektor lain bagi menambah pendapatan mereka, tambahnya.-BERNAMA