Pesawat MAS MH70 Lakukan ''Air-Turn Back'' Selepas 50 Minit Berlepas


Pesawat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH70 yang sudah berlepas kira-kira 50 minit ke Tokyo terpaksa berpatah balik ke Kuala Lumpur kerana masalah keselamatan yang ditemui semasa dalam penerbangan.

Pesawat MH70 itu mula berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 10.50 pagi waktu tempatan menuju ke Narita, Jepun.

Sebaik tiba di KLIA, penumpang dimaklumkan bahawa penerbangan ke Tokyo ditangguhkan pada jam 1.15 petang menggunakan pesawat yang lain.

Salah seorang penumpang pesawat itu, Victor Tan berkata pengumuman tersebut telah dibuat oleh juruterbang.

“Skrin radar (paparan laluan penerbangan di tempat duduk penumpang) menunjukkan pesawat itu membelok ke kiri, lama sebelum pengumuman tersebut.

“Saya keliru pada mulanya namun jelas selepas pengumuman dibuat mengenai perkara berkenaan, ” Kata Victor yang dipetik dari laman Astroawani.com.

Portal rasmi MAS menunjukkan penerbangan MH70 telah dijadualkan semula dan akan tiba di Tokyo pada jam 9.25 malam.

Laman Flightradar24.com menunjukkan MH70 hanya membuat pusingan di kawasan perlepasan sebelum membuat pusingan balik. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com