PKR Cuba "Beli Jiwa" PAS Sekali Lagi?

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa dia kononnya tidak pernah melupakan jasa Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan PAS yang banyak berjasa dalam perjuangan Pakatan Rakyat.

Dalam kenyataannya semalam, setiap ahli parti PKR tidak perlu memencil atau meminggirkan kepentingan rakan khususnya PAS dalam Pakatan Rakyat.

"Apabila kita suarakan pendapat akan ada yang melenting, tapi hanya bebrapa kerat sahaja, kita hargai peranan PAS dan banyak sumbangan mereka di alam Pakatan Rakyat.

"Kita benarkan mereka luahkan pendapat masing-masing, PAS telah membuktikan semangat setiakawan dan saya secara peribadi tidak pernah melupakan jasa mereka," kata Anwar cuba "membeli jiwa" PAS setelah "melukainya berkali-kali" sebelum ini.

"Mereka(PAS) telah membuktikan semangat setiakawan, dengan PAS, saya secara peribadi tidak melupakan jasa dan pengorbanan kawan-kawan dalam PAS," kata Anwar yang dipetik dari media-media yang mendakwa "bebas", namun condong ke arah Pakatan Rakyat.

Hubungan PAS dengan sekutu-sekutu Pakatan Rakyat retak dan meruncing sejak kebelakangan ini ekoran ramai pemimpin parti Islam itu yang melihat parti mereka sering menjadi mangsa buli di dalam gabungan parti pembangkang itu.

Dasar perjuangan PAS "turun temurun" yang mahu menubuhkan Kerajaan Islam (Daulah Islamiah) di Malaysia dan melaksanakan hukum hudud terpaksa "digadai" apabila DAP dan PKR menolak keras prinsip tersebut di dalam Pakatan Rakyat.

Anwar sebelum ini pernah campur tangan di dalam maslahat PAS apabila berjaya "mengarahkan" parti itu sehingga menyebabkan pelopor dan pengasas PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali dipecat dari parti serta dilucutkan semua jawatannya. -KedahNews.com