Kelantangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP mengkritik
PAS yang menjadi rakan sekutu mereka dalam Pakatan Rakyat (PR) dianggap
sebagai tindakan yang tidak bijak.
Penganalisis politik PAS, Dr Kamarul Yusoff juga berkata, kepimpinan
PKR dan DAP turut bertindak tidak profesional kerana mencampuri urusan
dalaman parti lain.
“Sejak akhir-akhir ini, kedengaran (pemimpin PKR dan DAP) meminta PAS
mengambil tindakan disiplin terhadap Ketua Pegawai Operasi Pusat
Penyelidikan PAS Pusat merangkap Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr
Mohd Zuhdi Marzuki.
“Meminta parti rakan mengambil tindakan disiplin terhadap mana-mana
pemimpinnya adalah satu bentuk campur tangan tidak wajar yang boleh
menyentuh sensitiviti parti tersebut,” katanya melalui posting
terbaharunya di laman Facebok pada Khamis.
Beliau mengulas mengenai reaksi pemimpin PR seperti Pengarah Strategi
PKR, Mohd Rafizi Ramli dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP,
Anthony Loke yang menggesa supaya PAS mengambil tindakan sewajarnya Mohd
Zuhdi.
Sejak Isnin lalu, nama Mohd Zuhdi hangat diperkatakan selepas
mencetuskan kontroversi apabila mesejnya dalam kumpulan Ahli
Jawatankuasa PAS Pusat berhubung cadangan supaya PAS keluar daripada PR
bocor dan menjadi viral di Internet.
Menerusi mesej paparan skrin yang disebarkan itu, Mohd Zuhdi memberi
analisis senario bagaimana PAS boleh membentuk kerajaan negeri Selangor
baharu dengan kerjasama 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno dan
kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang, milik Menteri Besar,
Tan Sri Khalid Ibrahim dan satu kerusi tambahan milik Adun PKR.
Selain itu Kamarul yang memperoleh Ijazah Kedoktoran melalui
kajiannya mengenai PAS berkata, sebarang saranan atau usul agar
dikenakan tindakan disiplin terhadap mana-mana anggota parti politik
harus bermula di peringkat dalaman.
Katanya lagi, desakan supaya PAS mengambil tindakan disiplin terhadap
Mohd Zuhdi dilihat seolah-olah mereka mengulangi perbuatan yang sama
dilakukan Umno kepada PAS pada 1977 yang menjadi punca perpecahan
kedua-dua parti itu.
“Walau apa sekalipun bentuk kesalahan yang didakwa dilakukan oleh
seseorang pemimpin atau ahli sesebuah parti, tindakan disiplin terhadap
mereka (jika ada) hendaklah bermula dari dalam parti itu sendiri.
“Adalah sesuatu yang tidak begitu bijaksana untuk PKR dan DAP
mengulangi apa yang dibuat oleh Umno ke atas PAS pada tahun 1977
dahulu,” katanya.
Sumber: Mynewshub.my