PKR Mahu PAS Tunjuk Sebab Tolak Isteri Anwar


Kuala Lumpur, 10 Ogos – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu PAS memberikan sebab mengapa pemimpin tertinggi dalam parti itu menolak Presiden PKR, Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail menjadi Menteri Besar (MB) Selangor bagi mengantikan Tan sri Abdul Khalid Ibrahim.

Setiausaha Agung PKR, Dato’ Saifuddin Nasution Ismail berkata, PAS seharusnya perlu ada satu sebab yang sangat kukuh sebagai alasan mereka menolak Wan Azizah memegang jawatan Menteri Besar Selangor.

“Ada desas-desus bahawa PAS tidak mahu menerima Dr Wan Azizah kerana beliau adalah seorang wanita. Jika ini yang menjadi kes, maka mereka harus tampil dan menyuarakan demikian.

“Kami mahu PAS mengatakan secara terbuka bahawa mereka menentang Dr Wan Azizah sebagai MB kerana beliau adalah seorang wanita.


“Biarlah seluruh Malaysia tahu sebab mereka tidak bersetuju dengan Dr Wan Azizah kerana beliau adalah seorang wanita.

“Jika mereka rasa hanya seorang lelaki yang sepatutnya menjadi pemimpin atau Menteri Besar, mereka harus mengatakannya. PAS tahu bahawa 51 peratus daripada pengundi adalah wanita. Mereka harus terbuka dan tampil menyatakan mengapa mereka tidak mahukan beliau. Ini akan menjadikan PAS lebih dihormati,” katanya dalam satu temu bual.

Menurut Saifuddin, penolakan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor dibuat berdasarkan sikapnya yang tidak boleh bekerja dalam satu pasukan.

Malah Adun Pelabuhan Klang itu dilihat sering tidak memberi komitmen seperti yang ditetapkan dalam PKR apabila jarang menghadiri dalam mensyuarat parti, dengan kehadiran sebanyak 42 kali daripada 136 mesyuarat diadakan sejak tahun 2010.

Selain itu, katanya Abdul Khalid juga mempunyai hutang sebanyak RM67 juta dengan Bank Islam, dan ini jelas menunjukkan pentadbiran Menteri Besar Selangor itu mempunyai masalah yang boleh menjejaskan PKR pada pilihan raya umum akan datang. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor