PETALING JAYA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan membuat
penerangan secara bertulis kepada pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat
berhubung alasan untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang
baharu.
Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, nota
penjelasan yang merangkumi fakta kes melibatkan masalah intergriti itu
Khalid akan diserahkan kepada semua pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat
pada esok (Selasa).
Nota penjelasan sepanjang lebih 50 muka surat itu didakwa akan
mendedahkan secara terperinci mengenai salah guna kuasa oleh Khalid
sebagai Menteri Besar.
“Antara yang terkandung dalam nota tersebut adalah fakta kes
membabitkan hutang Khalid sebanyak AS$18 juta (RM66.67 juta) dengan Bank
Islam Malaysia untuk membeli saham syarikat.
“Turut disenaraikan dalam nota itu adalah penjualan tanah milik
kerajaan negeri Selangor oleh Khalid kepada Eco World dengan harga yang
lebih murah daripada nilai pasaran untuk projek pembinaan rumah pangsa
di Sungai Sering, Ukay Perdana,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini, Isnin. - mStar Online