"Poket Rabak" Lepas Raya? Cuba Tips Ini...

Dalam kemeriahan musim perayaan, tidak dinafikan pasti banyak perbelanjaan yang perlu dikeluarkan. Mungkin ketika berbelanja, kita tidak begitu menyedarinya kerana teruja dengan kegembiraan hari raya, tetapi selepas kemeriahan mula susut, baru perasan lari pula bajet kita tahun ini.

Apa yang perlu dilakukan? Berikut lapan tip apa yang anda boleh lakukan untuk memperbaiki semula kedudukan kewa–ngan sekiranya lari bajet selepas raya. 

1. Mulakan tabung ‘kurangkan hutang’

Konsep ini agak mudah iaitu anda hanya perlu mengetepikan sejumlah wang yang kecil setiap minggu ke dalam tabung untuk mengurangkan hutang.
Jumlahnya mungkin RM5 atau RM10. Sekiranya boleh, apa salahnya ketepikan RM20 setiap minggu. Jumlah wang ini digunakan untuk melakukan pembayaran hutang kad kredit yang mungkin timbul ketika musim perayaan.

Apa tidaknya ketika kemeriahan raya, tak perasan pula mudah benar kita menyapu kad kredit. Apabila bil datang menjengah, kita pula terpaksa menggosok mata sebab tak percaya dengan jumlah terpampang di depan mata itu.


2. Dalam proses melangsaikan hutang kad kredit, janganlah anda menggunakannya pula

Seperti memenuhkan air ke dalam baldi yang bocor pasti tiada air yang bertakung! Untuk lima hingga enam bulan akan datang, hentikan daripada menggunakan kad kredit.

Sebaiknya, tinggalkan saja kad kredit itu di rumah. Sekiranya alasan anda perlu membawa kad kredit bimbang berlaku kecemasan, alasan ini tidak diterima.

Bawalah kad debit. Sudah tentu perbelanjaan anda dihadkan dengan wang yang anda miliki saja. Ingat, membeli bara–ngan mengikut kemahuan, bukanlah kecemasan.


3. Dalam berjimat, semestinya pepatah sikit-sikit menjadi bukit sememangnya benar. Dalam aktiviti harian, fikirkan di mana anda boleh mengurangkan kos

Mungkin tidak perlu membeli majalah mingguan kegemaran atau anda juga boleh mengurangkan lawatan ke kedai mamak bersama kenalan. Malah, anda boleh membawa bekal makanan ke tempat kerja untuk menjimatkan perbelanjaan.

Selepas sebulan berpuasa sepanjang Ramadan, takkan kita tidak berdaya untuk mengurangkan makanan pula. Apa yang penting, makan dengan sihat. Kebanyakan makanan yang sihat seperti sayuran, buah-buahan dan seumpamanya juga menjimatkan kos.


4. Jangan lupa selepas raya, masih ada jualan murah penghabisan stok

Ini juga sering menjadi dugaan bagi mereka yang suka membeli. Alasannya, jika tidak membeli sekarang, nanti barangan jadi lebih mahal!

Ada juga yang merancang untuk membeli pakaian raya tahun depan ketika harga murah tahun ini. Tiada masalah sekiranya bajet kita tidak lari.

Berjimat cermat me–manglah perkara yang disarankan. Tetapi sekiranya anda berhadapan dengan masalah lari bajet akibat raya tahun ini, jangan pula mula berfikir mahu membeli barangan untuk persiapan raya tahun depan.


5. Mula menjejak perbelanjaan yang kecil

Dapatkan aplikasi kewangan untuk telefon pintar anda. Jangan hanya bermain Angry Birds atau Cut the Rope saja. Terdapat banyak aplikasi kewangan percuma untuk digunakan dalam menjejak perbelanjaan harian anda.

Dengan menjadikan tabiat mencatatkan segala perbelanjaan dalam aplikasi sebegini, ia membantu anda untuk lebih mengawal aliran keluar masuk wang anda.

Sering kali juga kita lari bajet disebabkan perbelanjaan kecil yang tidak kita sedari. Justeru, dengan menjejak perbelanjaan, kita akan lebih terkawal dalam mengeluarkan wang setiap masa.


6. Satu cara untuk mula menjimat adalah dengan menyediakan tabung wang syiling di rumah

Setiap kali berbelanja, gunakan wang ringgit saja manakala masukkan baki wang syiling ke dalam tabung apabila pulang ke rumah.

Cara mudah ini memberi anda wang lebihan setiap minggu untuk simpanan. Sekiranya anda belum cuba cara ini, apa kata anda lakukannya!


7. Ketika membeli-belah waktu persiapan raya, mungkin kita tidak menyediakan senarai barangan yang perlu dibeli. Emosi ketika perayaan membuatkan kita membeli mengikut perasaan

Selepas raya sekiranya lari bajet, anda boleh sediakan senarai membeli-belah yang amat diperlukan ketika ingin membeli barangan rumah. Ini untuk memastikan anda hanya membeli apa yang perlu dan bukan lagi mengikut emosi. Jangan pula pisang berbuah dua kali.


8. Pindahkan terlebih dulu 10 peratus daripada pendapatan bulanan anda ke akaun simpanan atau untuk membayar hutang

Jangan tunggu hujung bulan baru hendak fikir jumlah yang perlu disimpan atau membayar hutang kerana ketika itu mungkin sudah tiada lagi simpanan.

Sejurus gaji masuk ke akaun anda, ketika itulah pindahkan 10 peratus sebelum anda menggunakannya untuk sebarang perbelanjaan lain.

Pelbagai dugaan wang sentiasa ada pada musim perayaan. Tetapi, berjimat dan mengawal sumber kewangan harus dilakukan sepanjang masa, bukan hanya ketika musim perayaan.

Apa yang penting, kita harus mendisiplinkan diri dan memiliki tabiat berjimat cermat. Sekiranya bajet lari, ambil iktibar ini untuk memperbaiki tabiat berbelanja pada musim perayaan tahun depan.

Sumber: MyMetro