Polis Sahkan Tahan 3 Lagi Peserta Pesta Bogel


Georgetown, 17 Ogos – Tiga lagi peserta yang terlibat dalam 'Pesta Bogel' di negeri ini telah bertindak menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya semalam.

Ketiga-tiga mereka telah di tahan oleh pihak polis bagi menjalankan siasatan.

Daripada sumber  dipetik dari Bernama, mereka yang menyerah diri dikenali sebagai Chew Tok Hwa, 57, Carmen Chan, 27, dan Justin Ang Ji keng, 24.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, ketiga-tiga mereka adalah rakyat tempatan dan akan direman bagi membantu pihaknya menjalankan siasatan berhubung kes yang dipercayai berlaku di Pantai Teluk Kampi, Teluk Bahang yang merupakan kawasan Taman Negara Pulau Pinang baru-baru ini.

"Mereka yang terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki telah menyerah diri pukul 10.30 pagi tadi dan polis akan mendapatkan perintah reman di mahkamah esok," katanya kepada media.

Menurut Abdul Rahim lagi, pihaknya sudah mengenal pasti jumlah peserta seramai 15 orang yang terdiri daripada tujuh rakyat tempatan, seorang warga India dan seorang lagi dari Filipina.

Jelasnya lagi, dengan penahanan semalam, polis sedang memburu tiga lagi peserta warga tempatan yang terlibat dengan pesta tersebut kerana enggan menyerah diri.


Pada Jumaat lalu, polis telah menahan reman dua lelaki terdiri dari rakyat tempatan berusia 34 tahun dan Singapura, 41 tahun selama dua hari selepas mereka menyerah diri di balai polis tersebut.

Merujuk kepada kes berkenaan, kesemua mereka dipercayai telah terlibat dalam sebuah klip video bertajuk 'Pesta Bogel Di Teluk Bahang, Pulau Pinang' yang didakwa dianjurkan secara haram. -KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor