JITRA - Kesempitan hidup memaksa sebuah keluarga tinggal di dalam rumah
usang dan serba kekurangan di Kampung Guar, Kodiang, dekat sini.
Rumah yang didiami Mah Darus, 70, bersama anak lelakinya, Zulkifli
Derani, 30, dan isteri, serta dua cucu berumur lima dan sembilan tahun
itu mengalami banyak kebocoran di bahagian bumbung selain dinding kayu
yang reput.
Menurut Mah, mereka sekeluarga hanya bergantung pada bantuan Jabatan
Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan untuk membeli
keperluan dapur dan membayar bil air.
“Anak saya bekerja sebagai pengutip besi buruk sahaja kalau ada pendapatan hanya sekitar RM10 hingga RM20 sahaja.
“Dengan pendapatan kami peroleh hanya cukup untuk perbelanjaan harian,
tidak mampu untuk baiki kerosakan rumah ini," katanya kepada Sinar
Harian ketika ditemui di rumahnya.
Mah yang juga pernah mengajar mengaji al-Quran di rumahnya berkata,
selain Zulkifli, dia juga mempunyai empat anak yang lain berumur 30
tahun hingga 50 tahun.
“Mereka semua tidak tinggal di sini, namun kadangkala ada datang
menjenguk saya dan pendapatan mereka hanya cukup untuk menampung
keluarga sendiri, katanya.
Menurut Mah lagi, ruang tamu rumah tersebut bukan sahaja dijadikan
sebagai tempat tidur malah di kawasan itu jugalah Mah memasak dan tempat
cucunya bermain.
“Saya amat berharap ada pihak yang sudi membantu kami sekeluarga untuk tinggal di kediaman lebih selesa berbanding sekarang.
“Kalau boleh memanglah nak rumah baharu namun jika ada pihak yang sudi
membaiki bumbung rumah dan kerosakan lain pun sudah cukup.
“Sebelum ini saya tidak pernah memohon bantuan rumah kerana tidak tahu bagaimana salurannya,” katanya. -Sinar Harian