Rakyat Pinang Tunggal "Mengamuk" Tak Tahan Busuk!

SUNGAI PETANI – Lebih kurang 2,000 penduduk yang menetap di sekitar Pinang Tunggal terpaksa berhadapan bau busuk akibat sisa pembuangan hasil pemprosesan beberapa kilang perindustrian sehingga memberi kesan terhadap kehidupan mereka.

Wahab Hashim, 59, mendakwa, pencemaran bau turut memberi kesan sampingan seperti masalah demam, sesak nafas dan kurang selera makan yang mengganggu kesihatan penduduk terutama kanak-kanak dan warga emas.

Dakwanya, sebelum ini penduduk pernah merungut mengenai proses pembuatan bebola ikan dari sebuah kilang berdekatan dikatakan penyebab faktor pencemaran air dan udara.

“Tetapi, setelah kemunculan sebuah lagi kilang memproses baja beberapa bulan lalu di sebuah kampung di sini, bau busuk semakin menjadi-jadi,” dakwanya.

Wahab bagaimanapun musykil adakah agensi berkaitan tidak mengambil berat perkara itu, terutama aspek kebersihan kerana mendakwa, sisa buangan dari kilang dilepaskan ke tali air yang akhirnya menjejaskan penanaman padi penduduk.

Sementara itu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Permatang Kedundong, Mohd Payaad Mohd Taib mendakwa, aduan berhubung perkara itu sudah dibangkitkan sebelum ini tetapi masalah sama tetap berlarutan.

“Bau semakin menusuk hidung apabila hujan lebat berlaku dalam tempoh dua, tiga hari ini. Bau selalunya jelas pada sebelah petang iaitu dari jam 6 petang sehingga 12 tengah malam,” dakwanya.

Difahamkan, penduduk daripada beberapa taman perumahan termasuk Taman Seraya, Taman Pinang Tunggal dan Taman Kempas I serta II turut berhadapan masalah sama.

Sementara kampung yang terlibat ialah Kampung Kilang Makau, Kampung Belukar, Kampung Pulau Tengah, Kampung Permatang Berangan, Kampung Pokok Asam dan Kampung Jawa.

Penduduk bagaimanapun berjanji akan mengemukakan semula aduan sama ke agensi terlibat kerana sudah tidak tahan.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Sosial Kuala Muda, Makbul Ilahi Hashim berkata, pihaknya mendapat aduan penduduk berhubung perkara berkenaan dua minggu lepas.

Bagaimanapun, katanya, beliau sendiri sudah memaklumkan secara lisan kepada Exco Kesihatan Kedah mengenai masalah berkenaan. -Sinar Harian