Terkejut namanya dikaitkan dengan pembatalan majlis
pernikahan Dazrin Kamarudin dan Amyra Rosli, Ramona Zamzam ketika
dihubungi Astro Gempak memberitahu dia tidak sangka perkara tersebut
berlaku kerana dakwaan kemesraannya dengan Dazrin sebelum ini hanya
disebabkan salah faham.
“Terkejut juga bila ada dakwaan yang mengatakan saya punca mereka (Dazrin dan Amyra) tak jadi bernikah.
“Saya tidak pernah terlibat dengan hubungan mereka…Saya rasa mustahil
pembatalan majlis pernikahan mereka disebabkan foto yang dimuatnaik di
Instagram saya sebelum ini kerana ia perkara kecil dan hanya salah faham
sahaja.
“Mungkin mereka ada masalah dalaman lain yang kita semua tak
tahu…Saya harap hubungan mereka dapat dipulihkan seperti sediakala,”
kata Ramona kepada Astro Gempak.
Ramona sebelum ini pernah memuat naik sekeping foto dia dan Dazrin di
laman Instagram dan telah mendapat pelbagai reaksi peminat Dazrin dan
Amyra.
“Gambar tersebut di ambil semasa sedang menunggu penggambaran
telefilem Bingkai Kaca…Kami tidak duduk berdua tetapi ada ramai crew
bersama.
“Ramai yang menghentam tanpa usul periksa dan menuduh saya mengacau
hubungan Dazrin dan Amyra dan itu tidak masuk akal kerana saya tahu
mereka akan berkahwin,” katanya yang mengambil pendekatan untuk tidak
mengendahkan perkara tersebut.
Tambah Ramona lagi, dia tidak pernah bertemu Amyra apatah lagi mempunyai masalah dengan duta Aurawhite itu.
“Amyra pun tidak pernah datang bertemu saya dan bercakap mengenai
kontroversi yang pernah tercetus sebelum ini dan saya juga tidak pernah
tahu atau mengambil tahu tentang hubungan dia dan Dazrin,” ujarnya.
Ramona dan Dazrin digandingkan dalam telefilem Bingkai Kaca yang
bakal ditayangkan pada 31 Ogos ini sempena sambutan Hari Kemerdekaan di
TV9. – Astro Gempak