Rawi Nak Buat Pasar Terapung Di Kedah

ALOR SETAR - Kerajaan negeri mahu menjadikan Tanjung Chali di sini sebagai destinasi pelancongan terbaharu, kata Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan Negeri Datuk Mohd Rawi Abd Hamid.

Beliau berkata sehubungan itu pasar terapung dicadang untuk diwujudkan di sekitar Sungai Kedah di Tanjung Chali.

"Lawatan ke tapak telah dijalankan bagi melihat kerja yang perlu dilakukan untuk tujuan tersebut. Kerja pembersihan sungai dan pemasangan lampu  akan dibuat bagi menambah  pencahayaan untuk mencantikkan kawasan persekitaran sungai," katanya kepada Bernama.

Tanjung Chali di Alor Setar
Beliau berkata restoran terapung juga akan diwujudkan di situ selain mengadakan produk pelancongan seperti pusat kesenian lukisan.

Selain itu Mohd Rawi berkata kerja-kerja pembangunan Sungai Batu dan Lembah Bujang di Merbok perlu disegerakan untuk dijadikan produk pelancongan berasaskan warisan.

"Kita ingin meuar-uarkan kepada dunia bahawa Malaysia mempunyai identiti tersendiri yang boleh dibanggakan dengan pelbagai tinggalan mengenai kerajaan Kedah Tua yang termasyhur pada zaman itu," katanya. - Bernama