Rayer Didakwa 2 Tuduhan Menghasut, Tak Mengaku Bersalah


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N Rayer mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Georgetown hari ini atas dua pertuduhan menyebut kata-kata menghasut ketika perbahasan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan ceramah di Jalan Delima, Island Glades, Jelutong di sini, Mei lalu.

Rayer yang diwakili tiga orang peguam iaitu Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh Deo dan S Raveentharan membuat kedua-dua pengakuan itu di hadapan dua hakim berasingan, Hakim Zulhazmi Abdullah dan Hakim Zaharah Hussein.

Kedua-dua hakim turut membebaskan Rayer dengan jaminan RM6,000 dan menetapkan 17 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes, lapor Bharian.com.my.

Turut kelihatan di pekarangan mahkamah, Ketua Menteri, Lim Guan Eng; Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan beberapa orang ADUN DAP. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com