KUALA LUMPUR – Orang ramai berpeluang menyaksikan menyaksikan
pancuran meteor Perseid dan fenomena Supermoon pada 11 hingga 13 Ogos
ini.
Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dalam satu kenyataan media
memberitahu, fenomena visual bulan paling besar dan terang itu akan
berlaku serentak dengan pancuran meteor Perseid pada malam tersebut.
“Sumber kepada kemunculan pancuran meteor Perseid adalah Komet Swift
Tuttle. Setiap 133 tahun komet ini akan mengunjungi sistem suria dan
meninggalkan debu-debu di sepanjang laluannya.
“Apabila Bumi merentasi laluan komet yang dipenuhi dengan debu-debu
ini, ia akan menerjah memasuki atmosfera Bumi pada kelajuan 225,300
kilometer sejam dan menghasilkan percikan cahaya di langit. Pancuran
meteor ini dikenali sebagai Perseid kerana kemunculannya berpusat di
buruj Perseus,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, Perseid mampu menghasil banyak bebola api yang
mempunyai kecerahan seperti planet Musytari ataupun Zuhrah dan waktu
terbaik menyaksikannya selepas tengah malam hingga Subuh serta menghadap
ke arah timur laut.
“Walau bagaimanapun ia juga boleh muncul dari mana-mana arah di langit,” kata kenyataan itu.
Kata kenyataan itu, fenomena Supermoon pula berlaku apabila bulan
pada waktu itu berada di orbit yang paling dekat dengan Bumi iaitu 14
peratus lebih dekat dan 30 peratus lebih terang berbanding pada
malam-malam lain.
Jelas kenyataan itu, bulan akan berada di kedudukan paling hampir
dengan Bumi iaitu pada jarak 356,896 kilometer pada pukul 1:46 pagi
manakala fasa Bulan purnama berlaku pada pukul 2:09 pagi pada 11 Ogos
ini.
Sumber: Mynewshub.my