Lembaga Disiplin KEADILAN telah meneliti dan mengadakan siasatan
berkenaan kes disiplin dan tatatertib TAN SRI KHALID IBRAHIM (Cabang
Kuala Selangor).
Kes ini telahpun dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN bertarikh 9 Ogos 2014.
Berikut adalah keputusan yang dicadangkan Lembaga Disiplin, yang
turut mempertimbangkan surat-surat balasan oleh TAN SRI KHALID IBRAHIM
bertarikh 6 Ogos 2014 dan 8 Ogos 2014, dan dipersetujui Majlis Pimpinan
Pusat KEADILAN.
Beliau telah didapati mengingkari keputusan mesyuarat Majlis
Pimpinan Pusat yang bermesyuarat pada 21 Julai 2014 yang sebulat suara
memilih Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai
calon Menteri Besar Selangor yang baru.
Beliau telah membuat kenyataan media pada 22 Julai 2014 yang
menyatakan keengganan beliau meletak jawatan Menteri Besar dan sehingga
hari ini beliau terus enggan melepaskan jawatan tersebut.
Atas alasan ini sahaja pun, Lembaga Disiplin berpendapat beliau wajar dipecat.
Majlis Pimpinan Pusat turut mengambil maklum bahawa:
• Beliau ingkar terhadap keputusan yang telah dicapai oleh Majlis
Presiden Pakatan Rakyat yang turut dihadiri Dato’ Seri Tn Guru Hj Abdul
Hadi Awang, sdr Lim Kit Siang, dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai:
o menangguhkan proses dan perbincangan mengenai projek Langat 2;
o menangguhkan kenaikan elaun Speaker, Menteri Besar, EXCO dan ADUN negeri Selangor;
• Beliau turut gagal mematuhi keputusan Majlis Presiden Pakatan
Rakyat yang dipersetujui sendiri oleh beliau untuk melibatkan
Jawatankuasa Penstrukturan Air Selangor dalam isu penstrukturan aset air
Selangor;
• Beliau turut berkeras untuk meneruskan projek Lebuhraya KIDEX
walaupun parti sudah mengarahkan beliau untuk mengkaji semula projek
tersebut kerana ia bertentangan dengan matlamat dan manifesto Pakatan
Rakyat yang dibentangkan sebelum Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu;
• Beliau turut gagal memberikan penjelasan sepenuhnya kepada Majlis
Presiden Pakatan Rakyat mengenai isu pelupusan hutang beliau dengan Bank
Islam bernilai hampir RM70 juta.
Oleh yang demikian, adalah diumumkan bahawa TAN SRI KHALID IBRAHIM dengan ini dipecat dari Parti Keadilan Rakyat, berkuatkuasa serta-merta.
DATO’ DR TAN KEE KWONG
PENGERUSI LEMBAGA DISIPLIN
PARTI KEADILAN RAKYAT
9 OGOS 2014
PENGERUSI LEMBAGA DISIPLIN
PARTI KEADILAN RAKYAT
9 OGOS 2014