Semua Exco PAS Letak Jawatan, Jika...

PAS memberikan "amaran" kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa empat exco mereka akan meletak jawatan sekiranya ada wakil rakyat UMNO dilantik menganggotai kabinet negeri tersebut.

Penegasan itu dinyatakan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad selepas parti itu mendapat kecaman oleh rakan sekutu mereka dalam Pakatan Rakyat kerana menolak gesaan untuk memboikot mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri, sebentar tadi

"PAS akan keluar daripada kerajaan jika Adun UMNO dilantik sebagai exco. PAS masih berada di dalam Pakatan Rakyat (PR).

"PAS akan menjaga kepentingan Pakatan Rakyat di dalam kerajaan," katanya seperti yang dilaporkan di laman Mstar.com.my.

Bagaimanapun, Iskandar menyata kekecewaannya apabila PAS dituduh sebagai pengkhianat dalam gabungan Pakatan Rakyat kerana mematuhi arahan pucuk pimpinan parti tersebut untuk menjalankan tugas Exco seperti biasa.


"Kami juga mahu memastikan UMNO tidak mengambil kesempatan dalam keadaan sekarang.

"Tetapi kami menghadapi risiko dituduh telah mengkhianati Pakatan Rakyat," katanya lagi.

Pada Selasa lalu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa empat Exco PAS Selangor supaya memboikot mesyuarat Exco yang dijadual berlangsung hari ini bagi menzahirkan bantahan dan solidariti PR disebab tindakan Abdul Khalid memecat enam Exco PKR dan DAP pada lewat petang semalam.

Bagaimanapun empat Exco PAS yang masih berada dalam kabinet Selangor iaitu Dr Halimah Ali, Dr Ahmad Yunus Hairi, Sallehen Mukhyi dan Iskandar telah hadir seperti biasa pada mesyuarat berkenaan sebentar tadi. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com