1. Tidak semena – mena nama Dr Zuhdi Marzuki menjadi besar
dan menggegarkan politik tanahair. Secebis perca conversation group
whatsapp AJK PAS Pusat disalin keluar oleh individu berhati busuk sedang
ia adalah whatsapp group tertutup yang menjadi medan perbahasan dan
perbincangan AJK PAS Pusat sebagai mesyuarat tidak rasmi untuk
memudahkan banyak perkara dengan memanfaatkan kemudahan sistem
komunikasi moden yang wujud hari ini.
2. Apa yang berlaku ialah kami anggota group whatsapp AJK PAS Pusat
sedang berbincang mengenai perkembangan politik terkini yang sedang
melanda negara khasnya mengenai isu MB Selangor. Timbul pelbagai
pandangan dari kalangan AJK PAS Pusat mengenainya. Sebahagian bersetuju
dan sebahagian tidak bersetuju dan sebahagian yang lain pula diam tanpa
respon. Saya sifatkan ini perkara biasa dalam semua keadaan. Jarang
benar untuk kami bersetuju sebulat suara dalam satu – satu isu yang
dibincangkan. Perbedaan pandangan itu akan menapis dan menyaring
pandangan sebahagian yang lain sementara perbahasan menjadi masak
sebelum disimpul menjadi rumusan atau keputusan.
3. Perbahasan ini agak panjang. Saya menyalinnya semula dengan tekun
dan memerhati satu baris ke satu baris keseluruhan conversation group
ini, mengunakan tulisan saiz 12 dengan format potrait A4, saya perolehi
sebanyak 115 muka surat. Perbahasan non stop menjangkau 2 hari dengan
tulisan setebal 115 muka surat A4, tiba – tiba hanya disebarkan secebis
perca yang hanya mengandungi 11 baris ayat untuk membentuk satu persepsi
buruk dan jahat kepada Dr Zuhdi Marzuki. Bukan sahaja ia adalah
perbuatan yang tidak adil malah jahat dan khianat. Pencetus masaalah
sebenar yang mencemarkan landskap politik semasa tanahair bukanlah Dr
Zuhdi tetapi individu yang membocorkan maklumat perbincangan tertutup.
Tanpa pendedahan itu, sudah tentu isu ini tidak tercetus. Terutama
pendedahan yang hanya mengambil perca kecil dari keseluruhan lembaran
conversation group.
4. Alang – alang berbuat dosa, kenapa tidak individu ini mendedahkan
keseluruhan conversation group AJK PAS Pusat tersebut. Saya percaya,
jika didedahkan keseluruhannya atau perbahasan secara penuh, persepsi
buruk dan sangkaan yang bukan – bukan tidak akan berlaku kepada Dr
Zuhdi. Justeru itu saya cabar individu yang telah membocorkan maklumat
perbincangan dalaman Group AJK PAS Pusat itu tampil mendedahkan
keseluruhan isi kandungan perbahasan mengenai isu ini. Kita lihat
bagaimana wajah perbahasan dan apa sebenarnya yang berlaku. Jangan minta
saya mendedahkannya kerana nakal – nakal saya pun, tidaklah sebusuk
perut dan sebenak aqal individu yang menyalin keluar perca conversation
group AJK PAS Pusat tersebut.
5. Ramai menganggap itu adalah kenyataan Dr Zuhdi sedang Dr Zuhdi
tidak pernah membuat kenyataan sedemikian. Apa yang tertera melalui
perca conversation yang didedah adalah satu daripada banyak – banyak
scenario analisis yang dibentang oleh Dr Zuhdi apabila anggota group
sedang berbincang mengenai satu topic yang menelur dari perbahasan
mengenai isu MB Selangor iaitu “bagaimana kalau PAS keluar atau
dikeluarkan dari Pakatan Rakyat”. Apa scenario yang akan berlaku ?
Analisisnya dikemukakan hasil dari cakap – cakap orang bawah dan orang
awam secara negative atau positif yang dipungut naik oleh Dr Zuhdi untuk
bahan perbincangan mengenai topic tersebut. Ia bukan pemikiran tulen Dr
Zuhdi. Malah, bukan Dr Zuhdi yang cadang topik PAS keluar atau
dikeluarkan dari Pakatan Rakyat. Ianya dicadangkan oleh anggota group
AJK PAS Pusat yang lain. Seperti juga mana – mana pengkaji dan
penganalisis mengemukakan hasil analisis sebagai contoh, mereka dapati
orang melayu masih ramai yang berfikiran feudal maka bukan bermakna
penganalisanya juga berfikiran feudal. Cakap – cakap mengenai PAS keluar
atau dikeluarkan dari Pakatan Rakyat ini sudah lama berlegar dikalangan
ahli PAS dan sebahagian pimpinan. Malah Dewan Ulamak PAS Pusat lebih
setahun lalu pernah mencadangkan supaya Tahaluf Siasi ( Kerjasama
Politik ) antara PAS dengan PKR dan DAP itu dikaji semula. Ini
menggambarkan scenario itu telah lama berlaku dan mudah serta pantas
untuk dianalisis.
6. Sementara itu adalah perbahasan dan perbincangan tertutup maka
tidaklah Dr Zuhdi memperindah susun kata sebagaimana mahu dibentang pada
khalayak melalui slide show dan seumpamanya, melainkan beliau sekadar
menggunakan bahasa dan “istilah lepas” bagi memudahkan perbincangan dan
memahami kedudukan scenario yang dianalisisnya. Malah perbahasan itu
belum berakhir dan belum merumuskan apa – apa melainkan banyak perkara
akan dibawa secara rasmi ke Mesyuarat Penuh AJK PAS Pusat pada 10 Ogos
akan datang .
7. Jujur saya menyebut bahawa bukan sahaja Dr Zuhdi dilihat buruk
bila conversationnya dikerat kecil begitu malah melalui 115 muka surat
conversation yang saya maksudkan tadi, anda akan dapati ramai lagi rakan
– rakan saya dari anggota group AJK PAS Pusat turut dilihat buruk
seperti Dr Zuhdi malah lebih teruk dari Dr Zuhdi JIKA conversation
mereka juga dikerat – kerat kecil sebagaimana dilakukan kepada Dr Zuhdi.
8. Saya teringat seorang kawan saya semasa belajar di Pondok Pasir
Tumbuh puluhan tahun yang lalu. Beliau pernah maki hamun Tuan Guru Haji
Nik Abdul Aziz kerana beliau mendengar Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz
berkata UMNO baik dan secular baik. Sedang menurut pengajian Islam,
Sekular bercanggah dengan Islam dan pengamal fahaman secular adalah
sesat ! bagaimana Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz kata UMNO baik dan secular
baik . Masa itu saya sendiri terpinga – pinga. Saya kata tidak mungkin
Tok Guru berkata demikian. Beliau bersumpah Wallahi Demi Allah dia
dengar sendiri di Dewan Zulkifli Kota Bharu masa kuliah pagi Jumaat.
Oleh kerana beliau adalah kawan saya dan saya yakin beliau juga tidak
menipu. Maka saya diamkan diri dan minggu berikutnya saya beli kaset
rakaman kuliah Tok Guru dan saya halusi satu persatu perkataan dan
ucapan Tok Guru. Akhirnya saya dapat jawapannya. Ucapan penuh Tok Guru
ialah “ Tuan – tuan ! kita kena tolak fahaman yang bertentang dengan
aqidah Islam. Tidak kira apa fahaman itu, muktazilah baik, sosialis
baik, nasionalis baik, sekularisme baik, semua kita kena tolak. Kita
orang Islam mesti terima Al Quran, orang UMNO baik , Orang PAS baik
mesti beramal dengan al Quran … !”
9. Malangnya kawan saya dalam keadaan kurang mahir loghat Kelantan
pula mendengar sebahagian dari keseluruhan ucapan akhirnya dia faham Tok
Guru kata secular baik, UMNO baik …. Saya senantiasa tersenyum lebar
bila mengenang peristiwa itu. Saya kira begitulah lebih kurang jadinya
pada Dr Zuhdi. Keseluruhan conversation kami selama 2 hari non stop
hanya dipetik dan didedahkan 11 baris dengan tujuan yang sangat jahat
bagi membina persepsi buruk pada Dr Zuhdi yang lantang mengkritik Datuk
Seri Anwar Ibrahim dan PKR terutama apabila timbul isu MB Selangor.
Percayalah, yang mengkritik keras Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu MB
Selangor ini bukan Dr Zuhdi seorang tapi ramai pimpinan PAS turut sama
mengkritik. Tinggal lagi berani melakukannya secara terbuka atau tidak .
Ada yang tidak berani kritik terbuka tetapi pedas dan keras kritikannya
secara tertutup kerana tidak tahan sabar dengan sikap dan tindakan
Datuk Seri Anwar dalam isu MB Selangor. Ada yang berani menyebut secara
terbuka di facebook tetapi menyembunyikan wajah dan identiti. Akhirnya
si pemberani seperti Dr Zuhdi inilah yang menjadi sasaran.
10. Saya sekali lagi menyelar individu yang telah membocorkan perca
conversation group AJK PAS Pusat dan mencabar supaya tampil buat
pengakuan dan dedahkan keseluruhan conversation anggota group mengenai
isu MB Selangor ini jika beliau adalah seorang yang bertanggungjawab dan
berani. Jika tidak, memang ia seorang yang penakut dan pengkhianat.
Menikam rakan dari belakang demi memuaskan hati war lordnya yang berada
di luar parti. Seperti juga mana – mana pengkaji dan penganalisis
mengemukakan hasil analisis sebagai contoh, mereka dapati orang melayu
masih ramai yang berfikiran feudal maka bukan bermakna penganalisanya
juga berfikiran feudal. Cakap – cakap mengenai PAS keluar atau
dikeluarkan dari Pakatan Rakyat ini sudah lama berlegar dikalangan ahli
PAS dan sebahagian pimpinan. Malah Dewan Ulamak PAS Pusat lebih setahun
lalu pernah mencadangkan supaya Tahaluf Siasi ( Kerjasama Politik )
antara PAS dengan PKR dan DAP itu dikaji semula. Ini menggambarkan
scenario itu telah lama berlaku dan mudah serta pantas untuk dianalisis.
- Nasruddin Hasan Tantawi
Sumber: Agendadaily.com
Sumber: Agendadaily.com