Permintaan tinggi terhadap perkhidmatan rawatan kecantikan hari ini
menyebabkan banyak premis spa wujud bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
Ia seiring dengan peningkatan aspek kesedaran masyarakat negara ini
mengenai kepentingan menjaga kecantikan bukan saja dari luaran, malah
untuk dalaman dan spiritual.
Pertambahan permintaan perkhidmatan rawatan spa itu membuktikan
golongan wanita sememangnya suka dan tidak dapat lari dari menjaga
kecantikan.
Sama ada yang menawarkan konsep tradisional atau
rawatan popular seperti ala Thai atau Bali, semuanya menarik perhatian
pengunjung.
NORULNAHA (depan tengah)bersama kakitangan pusat rawatan kecantikannya.
Namun, sedarkah anda kebanyakan premis berkenaan tidak sesuai dengan keperluan syarak sebagai umat Islam?
Ini disebabkan banyak premis itu yang mempunyai dekorasi seperti
patung selain mengabaikan sensitiviti pelanggan terutama wanita Islam.
Menyedari
keperluan berkenaan, Norulnaha Abdul Razak nekad membuka sebuah pusat
rawatan kecantikan berkonsepkan keislaman dan kemelayuan, Malaysian
Holistik Spa Nu’ Della di Seksyen 4 Tambahan, Bandar Baru Bangi,
Selangor.
Menariknya, spa itu menyediakan perkhidmatan rawatan
lengkap mengikut konsep Amalan Spa Islam (ISP) yang mula diperkenalkan
di negara ini sejak 2003.
“ISP adalah satu konsep spa
berlandaskan syariat Islam yang merangkumi segala aspek termasuk
pengurusan, perkhidmatan dan produk.
“Konsep ini menyaksikan
segala operasi spa dijalankan mengikut panduan yang semestinya
memberikan keuntungan dan tidak mendatangkan kerugian atau musibah
kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui di spa berkenaan, baru-baru
ini.
Jelas Norulnaha, pusat kecantikan itu menawarkan lebih 50
jenis perkhidmatan seperti rawatan rambut, muka, badan, mandian,
pelangsingan dan untuk ibu selepas bersalin.
Selain itu, ia
menawarkan beberapa pakej rawatan menarik yang dikhususkan kepada
golongan tertentu seperti pakej rawatan untuk golongan ibu, remaja,
bakal pengantin dan umum.
Menerusi pakej itu, pelanggan boleh
mencuba beberapa rawatan seperti urutan, bertangas, mandi lulur, mandi
rempah, sauna dan mandi bunga.
Dia amat menitikberatkan perkara
ini kerana pernah merasai sendiri ketidakselesaan apabila mengunjungi
pusat kecantikan dan spa yang tidak memberatkan isu berkaitan aurat
pelanggan terutama bagi yang beragama Islam.
“Di pusat rawatan
ini, pelanggan tidak perlu risau kerana kami hanya menggunakan produk
halal selain melaksanakan konsep Islam sepenuhnya iaitu memulakan
rawatan dengan bacaan beberapa ayat suci al-Quran.
“Kami juga mempunyai barisan pembantu kecantikan terlatih dan sentiasa mematuhi syarat ditetapkan.
“Semua
itu perlu bagi memastikan pelanggan sentiasa selesa dan yakin terutama
berkaitan aspek aurat yang selama ini bagaikan dipinggirkan sesetengah
pusat kecantikan,” katanya.
Ia turut menyediakan perkhidmatan
pada harga berpatutan untuk semua lapisan masyarakat. Ini bagi
memastikan masyarakat tidak berasa terbeban dengan harga yang dikenakan
namun, pada masa sama, masih mengawal kualiti perkhidmatan.
Bagi yang ingin datang ke pusat kecantikan ini secara berkumpulan, ia juga mempunyai kelengkapan dan bilik mencukupi.
Pusat
kecantikan yang dihias dengan dekorasi tradisional itu dilengkapi
pelbagai peralatan moden seperti mesin berteknologi tinggi bagi merawat
kulit muka dan badan. -MyMetro