Kuala Lumpur – Ketika rakyat Malaysia sedang berkabung masih
wujud segelitir individu tidak bertanggungjawab yang menyebarkan cerita
palsu mengenai keluarga mangsa nahas penerbangan MH17 di laman sosial.
Mangsa terbaru manipulasi laman sosial itu ialah anak kanak-kanak
lelaki yang dilaporkan kononnya begitu sedih sehingga mahu membuka
bendera Malaysia digunakan untuk menyelubungi keranda pramugari MAS
Mastura Mustafa bagi melihat wajah ibunya, tersebar luas di beberapa
media sosial termasuk aplikasi WhatsApp.
Menurut cerita yang disebarkan ini, anak lelaki tunggal arwah, Muhriz
Marzaidi, 10, dikatakan merintih mahu menatap wajah ibunya dan
merayu-rayu meminta keranda dibuka walaupun sedikit supaya dapat mencium
pipi ibunya.
Namun, beberapa wartawan termasuk Harian Metro yang mengikuti
pengebumian dari rumah sehingga ke kubur berkata, insiden itu tidak
berlaku dan disyaki rekaan semata-mata.
Wartawan Harian Metro Raja Noraina Raja Rahim melaporkan, ketibaan
jenazah jam 12.40 tengah hari tadi disambut Muhriz serta bapanya Mohamed
Affendi Khairuddin, 43, dan datuknya Mustafa Abdul Samad, 83.
Muhriz dilihat menangis sebaik keranda jenazah ibunya yang dibaluti
Jalur Gemilang diletakkan dalam masjid berkenaan sementara menunggu
solat Jumaat.
“Walaupun sebak, Muhriz pergi bersama bapanya dan jemaah lain untuk menunaikan solat jenazah selepas itu.
“Tiada pula berlaku insiden Muhriz mahu membuka Jalur Gemilang
daripada keranda atau meminta mahu mencium pipi ibunya seperti yang
disebarkan pihak tertentu itu,” katanya yang berharap orang ramai
merujuk kepada media utama jika mahu mendapatkan perkembangan semasa
yang sahih dan boleh dipercayai.
Sebaik selesai solat jenazah kira-kira jam 2.30 petang itu, jenazah
dibawa dengan penuh penghormatan ke Tanah Perkuburan Islam Taman Paroi
Jaya, di Seremban untuk pengebumian.
Kira-kira 2,000 jemaah yang hadir menunaikan solat Jumaat dengan
dipimpin Imam Eksekutif Masjid At-Taqwa, Ahmad Naim Azlan diikuti solat
jenazah. – Harian Metro