Sultan Kedah Dukacita Dengan Kes Hina Di Media Sosial


Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menzahirkan rasa dukacitanya terhadap banyak kejadian yang menggugat keharmonian kaum dan agama sejak kebelakangan ini.

Titah Baginda, pelbagai ketegangan agama dan ideologi perkauman yang berlaku dalam masyarakat terutamanya di media sosial membayangkan sikap tidak beradab terhadap pelbagai keputusan yang telah dimuktamadkan oleh datuk nenek semua warga.

"Ketika ini terlalu ramai anak-anak muda yang menyampaikan pandangan dan fikiran melalui media sosial tanpa mempedulikan sensitiviti hubungan antara kaum, agama, tradisi dan adat resam.

"Tanpa kebijaksanaan datuk nenek kita ketika mencapai kemerdekaan, maka ramai keturunan kini mungkin menjadi rakyat tanpa negara. 

"Dengan demikian, adalah amat wajar semua pihak faham dan sentiasa hormat akan asas-asas kehidupan seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,'' titah baginda yang dipetik dari laman Utusan.com.my.

Titah baginda dibacakan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Datuk Seri Diraja Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah ketika merasmikan Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah di sini hari ini. - Muhamad Hafizzudin Mohd Daud/KedahNews.com