Sultan Selangor Tidak Pernah Tolak Wan Azizah Jadi MB - Saifuddin


Petaling Jaya, 17 0GOS – Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Saifuddin Nasution menegaskan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak pernah menolak Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai Menteri Besar Selangor Baharu.

Saifudddin berkata, sebagai seorang ketua negeri, Sultan Selangor pasti lebih memahami Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor termasuk berkaitan keputusan dalam melantik Menteri Besar bagi mentadbir negeri berkenaan.

"Sebagai sebuah kerajaan yang memenangi mandat dua pertiga dalam PRU13 yang lalu, sewajarnya keputusan melantik seorang menteri besar di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat (PR) itu dapat dibuat secara muafakat bersama.

"Tuanku lebih arif dengan Perlembagaan dan Undang-undang Tubuh negeri Selangor. Setakat ini, PKR difahamkan Tuanku Sultan Selangor terbuka dalam perkara tersebut dan akan membuat keputusan berlandaskan prinsip undang-undang," katanya dipetik menerusi Mstar.

Kenyataan Saifuddin dibuat bagi menolak laporan sebelum ini berkaitan Sultan Selangor yang tidak bersetuju sekiranya Wan Azizah yang menjadi calon tunggal dilantik menjadi Menteri Besar bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Saifuddin lagi, seharusnya PAS dan DAP yang menjadi rakan sekutu PKR harus bersetuju dengan pelantikan Wan Azizah sebagai peneraju kerajaan Selangor seperti yang telah dicadangkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

"Proses mengikut Perlembagaan dan Undang-undang Tubuh Selangor untuk melantik seorang menteri besar adalah jelas dan ia bermula dengan pencalonan seorang Adun dari parti yang mempunyai majoriti di dalam dewan.

"Sewajarnya PKR, DAP dan PAS harus berupaya mempersetujui seorang calon di kalangan Adun PR untuk dibawa pencalonan bagi perkenan Tuanku Sultan Selangor," katanya lagi.

Ujarnya lagi, Jawatankuasa PAS Pusat yang akan bermesyuarat hari ini perlu menyokong cadangan tersebut kerana 30 Ahli Undangan Negeri (ADUN) Selangor telah bersetuju dengan cadangan perlantikan Wan Azizah sebagai Menteri Besar. –KedahNews.com/Mohd Shahir Shukor