Surat PKR Mohon Mengadap Ditolak Istana Selangor



Pihak Istana Selangor telah menolak permohonan saat akhir dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mengadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menjelaskan pemecatan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada parti itu.

Permohonan itu ditolak pihak istana kerana menyifatkan sebagai tidak sesuai diadakan.

Mengikut laporan laman web Malay Mail, surat itu dipercayai ditulis oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon perkenaan Sultan Sharafuddin untuk mengadap baginda melalui isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah merupakan calon Menteri Besar yang dicadangkan oleh PKR untuk menggantikan Abdul Khalid.

Menurut sumber yang dipetik Malay Mail, surah berkenaan dihantar kepada pihak Sultan semalam ditolak pada hari yang sama.

“Permohonan itu ditulis oleh Anwar untuk Dr Wan Azizah mengadap Tuanku.

“Persoalan timbul mengapa Dr Wan Azizah tidak menulis surat berkenaan sendiri dan ia dilihat tidak sesuai memandangan Presiden PKR itu merupakan individu yang dicalonkan bagi menggantikan Abdul Khalid,” menurut sumber dari PKR yang dipetik akhbar berkenaan.

Difahamkan pihak Anwar akan menerima surat menolak permohonan itu lewat hari ini.

Berkenaan isu Menteri Besar ini, kesemua empat Exco Negeri dari PAS menyuarakan sokongan mereka kepada Abdul Khalid biarpun Abdul Khalid telah dipecat dari PKR.

PKR pada Sabtu lepas, mengumumkan pemecatan Abdul Khalid dari terus menjadi ahli untuk menekan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang itu mengundurkan diri dari kerusi Menteri Besar. 
 
Sumber: Mynewshub.my