Surendren Cuba "Sekolah"kan PAS..?


Semalam MB sementara Khalid Ibrahim telah mengejutkan rakyat Selangor dengan memecat kesemua 6 exco DAP dan KEADILAN. Ini adalah serangan terang-terangan dan anti-perlembagaan oleh Khalid ke atas Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Selangor telah jelas memilih Pakatan Rakyat untuk mentadbir Selangor pada PRU13 yang lalu. Oleh itu tindakan Khalid ini antara pengkhianat paling teruk dalam sejarah politik Malaysia. Khalid telah menunjukkan dia langsung tidak menghormati hak demokratik rakyat Selangor yang telah menyatakan pilihan mereka melalui peti undi.

Ini merupakan waktu paling genting buat rakan-rakan dalam PAS. Mereka perlu menegakkan pilihan demokratik rakyat Selangor dengan berdiri bersama DAP dan KEADILAN untuk menyelamatkan kerajaan Pakatan Rakyat.

Memandangkan PAS telah lama berjuang demi sebuah Malaysia yang lebih baik, kami cukup berharap agar PAS akan terus bersama kami dan rakyat Selangor. Sebarang pilihan yang dibuat selain ini akan teramat merugikan PAS sebagai sebuah parti politik kebangsaan.

Memandangkan deklarasi sokongan Umno terhadap Khalid, PAS tidak perlu menanti hingga 17 Ogos ini untuk bermesyuarat. PAS perlu bersama DAP dan KEADILAN sekarang!

Harapan dan impian rakyat agar terzahirnya sebuah negara yang bebas rasuah, kronisme dan penindasan BN kini berada di persimpangan.

N Surendran
Naib Presiden KEADILAN
Ahli Parlimen Padang Serai
13 Ogos 2014